Khamis, 17 Oktober 2019 | 3:21pm
Ketua Runcit Lendlease, Mitch Wilson (kiri) bersama Naib Presiden Eksekutif SP Setia, Datuk Tan Hon Lim pada sidang media di Setia City Mall, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

SP Setia, Lendlease labur RM500 juta besarkan Setia City Mall

SHAH ALAM: Pusat beli belah Setia City Mall (SCM) bakal berubah wajah dengan penambahan ruang runcit seluas 450,000 kaki persegi dan menjadikannya destinasi santai terbesar di Shah Alam selepas siap sepenuhnya kelak.

Bagi tujuan itu, SCM yang dibangunkan dengan usaha sama 50:50 antara SP Setia Bhd (SP Setia) dan Lendlease Malaysia (Lendlease) menerima pelaburan bernilai RM500 juta yang diperuntukkan bagi pengembangan pusat beli belah berkenaan.

Ketua Runcit Lendlease, Mitch Wilson berkata, SCM yang lebih besar itu nanti boleh menampung kunjungan lebih 13 juta pengunjung setahun.

“Kami optimis dengan kejayaan pengembangan pusat beli belah ini khasnya menerusi jalinan kerjasama antara Lendlease dan SP Setia. Pembinaan ruang baharu ini akan membawa masuk 150 lagi cawangan runcit baharu sebagai tambahan kepada 235 peruncit yang sedia ada pada masa ini.

“Ia bakal menempatkan lebih banyak jenama fesyen, ruang makan, ruang santai dan juga ruang keluarga. Kami menjangka pengembangan SCM akan mencipta destinasi komuniti yang meriah di sini,” katanya pada majlis pengumuman penyewa baharu di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Naib Presiden Eksekutif SP Setia, Datuk Tan Hon Lim dan Ketua Eksekutif SP Setia, Datuk Khor Chap Jen.

Mengulas lanjut mengenai unjuran runcit SCM, Wilson berkata pihaknya menerima sokongan yang kukuh daripada peruncit di negara ini.

“Pada masa ini, kadar pajakan di pusat beli belah berkenaan adalah melebihi 80 peratus dan ada beberapa rundingan lanjut yang sedang berjalan.

“Prestasi ini amat memberangsangkan dan kami gembira kerana dalam tempoh kurang daripada setahun lagi, kami akan meraikan pembukaan fasa baharu pusat beli belah ini.

“Kami yakin dengan adanya pengembangan fasa baharu ini, kami akan terus mencapai prestasi yang cemerlang,” katanya.

Berita Harian X