Ahad, 13 Oktober 2019 | 2:59pm
Penurunan had harga rumah untuk pembeli asing kepada RM600,000 adalah langkah jangka pendek yang baik untuk menjual hartanah tidak terjual sedia ada. - Foto hiasan

Turun had harga kediaman tidak patut halang bina rumah mampu milik

Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) berkata penurunan had harga rumah untuk pembeli asing kepada RM600,000 adalah langkah jangka pendek yang baik untuk menjual hartanah tidak terjual sedia ada.

Namun, ia tidak sepatutnya menghalang pemaju daripada memberi tumpuan kepada perumahan mampu milik untuk segmen B40 dan M40.

Semasa membentang Belanjawan 2020, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan bahawa untuk mengurangkan bekalan kondominium dan pangsapuri tidak terjual bernilai M8.3 bilion pada suku kedua 2019, kerajaan akan menurunkan had harga hartanah bangunan tinggi di kawasan bandar untuk pemilikan asing daripada RM1 juta kepada RM600,000 pada 2020.

“Kami juga berharap ini tidak akan menjejaskan pemaju daripada tumpuan mereka kepada perumahan mampu dimiliki untuk segmen B40 dan M40,” kata Presidennya Lilian Tay dalam kenyataan di Kuala Lumpur, kelmarin.

PAM juga menyambut baik lanjutan skim perumahan untuk golongan muda oleh Cagamas dan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk dua tahun lagi bagi membantu golongan belia membeli rumah pertama mereka, kerana ini akan menggalakkan pemaju untuk mengkaji semula produk perumahan mereka dan mempelbagaikan segmen ini untuk memadankan komitmen kerajaan untuk membina lebih banyak rumah mampu milik.

“PAM juga menggesa BSN memperluas insentif pemilikan rumah yang sama dan tidak hanya kepada belia, bahkan untuk isi rumah yang hanya seorang anggota keluarga yang bekerja untuk membeli kediaman mampu milik,” katanya.

PAM juga menunggu projek pembangunan baharu atau projek yang dihidupkan semula seperti Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), bandar Bandar Malaysia, menaik taraf lapangan terbang, pembangunan Pulau Carey untuk menjadikan Pelabuhan Klang sebagai pusat maritim dan hab logistik kargo, dan kemudahan sukan baharu.

“Kami berharap pemerolehan projek-projek nasional penting ini akan melalui proses persaingan reka bentuk terbuka yang PAM boleh membantu, yang seterusnya akan membuka peluang kepada firma arkitek Malaysia yang lebih kecil dan besar untuk meningkatkan kapasiti,” katanya. – Bernama

Berita Harian X