Selasa, 8 Oktober 2019 | 3:38pm
PENOLONG Pengurus Besar StarProperty, Ernest Towle (kiri) bersama Pengarah Didian Realtor Sdn Bhd, Chow Nam Kit melancarkan laman sesawang 'Didian Property Marketplace'. NSTP/Mustaffa Kamal.

Didian platform jualan hartanah B2B pertama Malaysia

PETALING JAYA: Didian Realtor Sdn Bhd, firma teknologi hartanah (proptech) memperkenalkan platform pasaran hartanah B2B pertama di Malaysia, Didian, sebagai usaha meningkatkan jualan dalam sektor hartanah.

Pengarahnya, Chow Nam Kit, berkata platform yang boleh didapati dalam versi aplikasi mudah alih dan web ini mampu menyokong ekosistem hartanah dengan menghubungkan ejen dan projek hartanah yang sedang dibina atau yang bakal siap.

Katanya, sebanyak sembilan projek oleh lapan pemaju terkemuka sudah dilancarkan di dalam platform ini, dengan menawarkan inventori hartanah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) hampir RM1 bilion kepada ejen dan perunding hartanah di seluruh negara.

“Platform digital kami membenarkan proses jualan dalam kalangan ejen dan perunding hartanah kepada produk hartanah sedia ada di hujung jari, sekali gus mempercepatkan proses jualan kepada pemegang kepentingan kami.

“Ia adalah tumpuan utama dalam perniagaan kami dan akan menjadi enjin pertumbuhan untuk kami terus kekal berdaya tahan,” katanya berucap pada majlis pelancaran platform Didian di sini, hari ini.

Dibangunkan hasil maklum balas pemaju dan ejen hartanah tempatan, sistem ini menawarkan penyelesaian yang komprehensif kepada ejen-projek hartanah.

Nam Kit berkata, bagi ejen dan perunding, Didian menawarkan tujuh hari bayaran skim komisen daripada tarikh perjanjian pembiayaan dan SPA ditandatangani.

“Jika sebelum ini, perunding perlu menunggu antara tiga hingga enam bulan untuk menerima komisen mereka, kini dengan hanya tempoh seminggu semuanya selesai,” katanya.

Berita Harian X