Jumaat, 4 Oktober 2019 | 6:42pm
- Foto hiasan

Pembeli rumah pertama wajar dapat pinjaman 100 peratus

KUALA LUMPUR: Memandangkan hartanah tidak terjual terus meningkat, peserta industri meminta kerajaan membenarkan pinjaman sebanyak 100 peratus untuk pembeli kali pertama hartanah berharga di bawah RM500,000.

Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS) berkata, berdasarkan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), hartanah kediaman tidak terjual sebanyak 32,810 unit bernilai RM19.76 bilion pada separuh pertama 2019.

Harga rumah daripada RM200,001 hingga RM300,000 membentuk sebahagian besar daripada hartanah tidak terjual, terdiri daripada 22.33 peratus daripada jumlah unit tidak terjual.

“Status hartanah tidak terjual secara keseluruhan naik kepada 59,473 unit, bernilai RM41.732 bilion, pada separuh 2019, peningkatan sebanyak 259 peratus daripada hanya 16,576 unit pada 2015,” katanya dalam satu kenyataan.

PEPS turut meminta kerajaan membenarkan lebih banyak dana daripada Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikeluarkan bagi pembelian rumah mampu milik.

“Kerajaan juga perlu mengkaji semula dan menjadikan mekanisme kuota Bumiputera lebih jelas, yang akan melepaskan kuota Bumiputera bagi unit tidak terjual,” katanya.

Mengenai isu rumah mampu milik, persatuan itu menyarankan penubuhan Perbadanan Berpusat Nasional mengenai Rumah Mampu Milik, mengikut model Lembaga Perumahan dan Pembangunan Singapura.

Antara lain, katanya perbadanan itu akan merancang, menyelaras dan melaksanakan pelan tindakan kerajaan dan pelan mengenai rumah mampu milik di seluruh negara.

Ia akan turut menyerap syarikat kerajaan sedia ada yang terbabit dalam rumah mampu milik seperti PR1MA.

-BERNAMA

Berita Harian X