Khamis, 26 September 2019 | 7:53pm

GDB raih kontrak RM517 juta bangunkan Park Regent

KUALA LUMPUR: Firma perkhidmatan pembinaan GDB Holdings Bhd memperoleh kontrak bernilai RM517 juta - kontrak tunggal terbesar pernah diraihnya setakat ini membabitkan kerja-kerja sebagai kontraktor utama pembangunan kediaman Park Regent di Desa ParkCity, Kuala Lumpur.

Kontrak itu diterima daripada Cloudvest Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Unicorn Frontier Sdn Bhd yang juga entiti usaha sama 50:50 antara ParkCity Property Holdings Sdn Bhd dan CapitaLand Malaysia Pte Ltd.

Pembangunan kediaman premium Park Regent itu merangkumi 505 unit pangsapuri dalam dua blok 54 tingkat di atas podium lima tingkat yang meliputi kemudahan kediaman, parkir kereta empat tingkat serta satu tingkat tempat letak kereta bawah tanah.

“Bersandarkan prestasi kami menyiapkan pembangunan Desa ParkCity sebelum ini yang lebih awal daripada dijadualkan, kami yakin dapat meneruskan peranan dalam merangka Desa ParkCity yang dirancang dengan baik serta pesat berkembang," kata Pengarah Urusannya, Cheah Ham Cheia dalam satu kenyataan hari ini.

Tempoh kontrak selama 37 bulan itu dijangka bermula dari 2 Disember 2019 dan dijadual siap pada 1 Januari 2023.

GDB berkata, kontrak itu dijangka menyumbang secara positif terhadap pendapatan masa depan syarikat bagi tempoh sepanjang kontrak berkenaan.

Malah, kontrak itu menjadikan nilai kontrak dalam tangan kumpulan itu secara keseluruhannya mencecah kira-kira RM1.0 bilion.

Projek lain yang sedang dijalankan termasuk AIRA Residence di Damansara Heights, Menara Hap Seng 3 di Kuala Lumpur dan Perla Ara Sentral di Ara Damansara.

Sebelum memperoleh kontrak baharu itu, GDB telah membina dua projek di Desa ParkCity iaitu One Central Park setinggi 45 tingkat dan Westside III setinggi 49 tingkat.

Kedua-dua projek itu disiapkan masing-masing 107 hari dan 61 hari lebih awal daripada tarikh asal yang ditetapkan. - BERNAMA

Berita Harian X