Khamis, 26 September 2019 | 5:42pm
PRESIDEN Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Ir Soam Heng Choon. NSTP/Mahzir Mat Isa.

Pemansuhan caj pematuhan boleh turunkan harga rumah

PETALING JAYA: Harga hartanah kediaman boleh diturunkan dan berada di paras stabil jika caj pematuhan yang dikenakan terhadap pemaju dapat dikurangkan atau dimansuhkan.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA), Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata pengurangan atau pemansuhan caj berkenaan akan menjadikan kos pembinaan sesuatu projek itu dapat dikawal, sekali gus merendahkan harga kediaman.

Beliau berkata, antara caj pematuhan yang perlu dipatuhi pemaju adalah premium pertukaran status tanah; caj sumbangan modal untuk infrastruktur dan utiliti dengan sesetengah petak tanah perlu diserahkan untuk pembinaan loji dan jentera dan setem duti.

Caj sumbangan modal untuk infrastruktur dan utiliti yang perlu dipatuhi pemaju, katanya adalah kepada syarikat utiliti swasta seperti Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK), Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM).

“REHDA sedang menjalankan kajian dan kertas kerja mengenai perkara ini kerana pemaju dikenakan terlalu banyak caj dan syarat yang ‘tidak perlu’.

“Ketika ini, caj pematuhan adalah sekitar 15 hingga 20 peratus daripada kos projek hartanah dan ia adalah terlalu tinggi. Kadar ini berbeza mengikut lokasi dan negeri di mana projek hartanah itu dibangunkan.

“Jika kos menjalankan perniagaan seperti ini dapat dikurangkan, penjimatan itu boleh disalurkan kepada pembeli rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat media Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Pertama 2019 serta Tinjauan Pasaran Separuh Kedua 2019 dan Separuh Pertama 2020 di sini, hari ini.

Heng Choon berkata, semua pihak turut perlu mengambil kira kewujudan elemen subsidi yang dikenakan kepada pemaju hartanah ketika ini.

Sebagai contoh, katanya pembinaan projek hartanah kediaman di Selangor, yang memerlukan pemaju membina Rumah Selangorku, disifatkannya sebagai kerugian kepada syarikat yang terbabit.

Disebabkan itu, beliau berkata pemaju perlu menaikkan harga jualan bagi menampung subsidi yang telah disalurkan kepada pembinaan rumah mampu milik berkenaan.

“Caj pematuhan pula bergantung kepada kerajaan negeri, namun REHDA memahami perkara ini kerana pendapatan kerajaan negeri banyak bergantung kepada projek berkaitan hartanah.

“Perkara ini perlu diperhalusi dan dibincangkan. Namun, apabila kita membincangkan mengenai perkara ini, orang ramai tidak dapat memahaminya.

“Sebagai pemaju, kami menjalankan perniagaan dan sudah semestinya akan menyediakan produk yang boleh dibeli. Mengapa kami mahu mengeluarkan produk yang tidak boleh dibeli, yang akhirnya menyaksikan banyak rumah tidak terjual.

“Namun, beberapa perkara sebegini yang menyaksikan peningkatan harga hartanah,” katanya.

Heng Choon baru-baru ini menggesa syarikat utiliti untuk menyemak semula modal mereka sendiri bagi mendapatkannya semula menerusi tarif berdasarkan penggunaan menerusi pembiayaan persekutuan daripada percukaian am.

Berita Harian X