Jumaat, 20 September 2019 | 12:13pm

Sunway City membeli Sterling Paradise pada harga RM15 juta

KUALA LUMPUR: Sunway Bhd, menerusi anak syarikat Sunway City Sdn Bhd, mengambil alih Sterling Paradise Sdn Bhd pada pertimbangan tunai RM15 juta, termasuk hak ke atas 4.78 hektar tanah pegangan bebas di Mutiara Bukit Jalil.

Ia dalam satu kenyataan hari ini berkata, Sunway City memeterai perjanjian bagi memperoleh keseluruhan kepentingan dalam Sterling Paradise yang memiliki 47 bidang tanah yang berpotensi bagi pembangunan bercampur pada masa depan.

Pengarah Urusan Hartanah Sunway, Sarena Cheah, berkata cadangan pembangunan pegangan bebas yang kedudukannya berdekatan lokasi transit itu, akan bersesuaian dengan permintaan semasa, terutamanya bagi millennial kelas pertengahan yang mahukan akses dan kemudahan berdekatan pusat bandar.

Ia adalah pengambilalihan keempat Sunway Property bagi tahun ini.

Pengambilalihan pertama adalah tanah seluas 2.5 hektar di Tampines, Singapura bagi pembangunan kondominium eksekutif dengan GDV yang dirancang RM2.4 bilion (S$800 juta).

Ini diikuti pengambilalihan 3.8 hektar tanah pajakan di Kota Damansara yang terdiri daripada pangsapuri servis dan unit runcit gaya hidup dengan anggaran GDV RM544 juta, dan 2.6 hektar tanah di Tianjin Eco-City, China dengan anggaran GDV RM770 juta (RMB1.3 bilion) sejajar strategi syarikat untuk membuat pengambilalihan menguntungkan.

Sunway mempunyai jumlah simpanan tanah sebanyak 1,358 hektar dengan anggaran GDV RM58.7 bilion membabitkan tempoh pembangunan selama 15 tahun.

Berita Harian X