Jumaat, 13 September 2019 | 8:07pm
Pengurus Besar Jualan Pengiklanan-Agensi dan Korporat NSTP, Roche Chew (dua dari kanan) bergambar bersama peserta pameran selepas sidang media Pameran Hartanah MyRumah 2019 di Kuantan. - NSTP/Zulkepli Osman
Pengurus Besar Jualan Pengiklanan-Agensi dan Korporat NSTP, Roche Chew (dua dari kanan) bergambar bersama peserta pameran selepas sidang media Pameran Hartanah MyRumah 2019 di Kuantan. - NSTP/Zulkepli Osman

MyRumah di Kuantan sasar jualan hartanah RM20 juta

KUANTAN: Pameran hartanah, MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) yang akan berlangsung di sini minggu depan, menyasarkan jualan hartanah sebanyak RM20 juta pada pameran selama tiga hari itu.

Pameran yang akan berlangsung dari 20 hingga 22 September ini di kompleks beli-belah, Kuantan City Mall (KCM) di sini, menyasarkan kira-kira 20 unit kediaman terjual bagi setiap pemaju perumahan yang terbabit dalam pameran yang pertama kali diadakan di Pantai Timur.

Pengurus Besar Jualan Pengiklanan-Agensi dan Korporat NSTP, Roche Chew, berkata pemilihan Kuantan dibuat bagi menarik minat pembeli daripada golongan B40 dan M40, disamping menarik pembeli daripada T20.

“MyRumah 2019 di sini menawarkan lebih 1,437 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) lebih RM323.6 juta.

“Harga yang ditawarkan ialah antara RM120,000 hingga RM1.58 juta seunit. Selain pameran hartanah, turut diadakan sesi ceramah mengenai hartanah yang akan menampilkan lapan penceramah dalam bidang hartanah dan perbankan,” katanya pada sesi taklimat dan sidang media bersama pempamer MyRumah 2019 di Hotel Grand Darul Makmur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, majlis perasmian pada 20 September ini akan disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Abdul Rahim Muda.

Pameran yang akan berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu disertai enam pemaju daripada Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) / Jabatan Perumahan Negara, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd, O&C Properties (Kuantan) Sdn Bhd, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan UDA Land (East) Sdn Bhd.

Selain itu, Amanah Raya Berhad, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful IKHLAS turut menyertai pameran terbabit.

“Bukan sekadar pameran, kita juga mengadakan aktiviti menarik untuk anak-anak pengunjung bagi keselesaan ibu bapa melawat booth pempamer yang mengambil bahagian.

“Kita menyasarkan kira-kira 20,000 pengunjung akan hadir pada pameran selama tiga hari itu kerana selepas empat tahun penganjuran MyRumah, ini pertama kali kita bawa ke Pantai Timur,” katanya.

Bukan sekadar pengunjung di Pahang, khususnya daerah ini, sebaliknya pameran itu membuka peluang kepada penduduk di Kelantan dan Terengganu untuk hadir memandangkan banyak tawaran yang disediakan daripada pemaju projek di Pantai Timur.

Siri pertama MyRumah 2019 diadakan di pusat beli-belah MyTown, Kuala Lumpur, pada Mac lalu dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung diikuti Melaka (Julai) dan Johor Bahru (Ogos).

Selepas Kuantan, siri jelajah pameran hartanah MyRumah 2019 ini akan turut diadakan di Shah Alam dan Ipoh.

Pada majlis itu juga, akhbar Harian Metro turut memperkenalkan sisipan hartanah terbaharu, P&P (pemaju dan pemilik) yang akan diterbitkan pada 20 September ini.

Berita Harian X