Rabu, 11 September 2019 | 8:26pm
Pengarah Impiana Cherating, Azrin Kamaluddin (tengah) bertukar memorandum persefahaman kepada Pengarah Intra Magnum, Shazilan Dahalan (kiri) dan Pengarah Silver Max Asia Pacific Labuan, Alfonso Hin Ming Chu pada majlis menandatangani memorandum persefahaman di Impiana Hotel. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Impiana jual 146 unit suite servis kepada Silver Max

KUALA LUMPUR: Pengendali hotel, Impiana Hotels Bhd (Impiana) memeterai perjanjian jual beli (S&P) dengan Silver Max Asia Pacific Labuan Ltd untuk penjualan 146 unit daripada 257 unit fasa satu suite servis di Impiana Resort & Residences Cherating (Impiana Cherating) pada harga RM146 juta.

Impiana Cherating dengan keluasan 12 hektar terletak di destinasi pelancongan utama Pantai Timur. Pembangunan resort ini terdiri daripada tiga fasa dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM413 juta.

Perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Pengarah Impiana Cherating, Azrin Kamaluddin; Pengarah Intra Magnum Sdn Bhd dan Pengarah Silver Max Asia Pacific Labuan, Alfonso Hin Ming Chu.

Serentak dengan pelaksanaan S&P itu, Impiana Cherating dan Silver Max telah memeterai Perjanjian Pengurusan Pajakan yang mana Silver Max akan memajakkan hartanah itu kepada Impiana Cherating yang akan mengawalselia pengurusan dan penyelenggaraan hartanah terbabit.

Dua fasa pertama terdiri daripada unit resort utama dengan tujuan jual dan sewa semula serta villa yang bukan untuk dijual, manakala fasa tiga terdiri daripada unit kediaman mewah.

Fasa 1 dijangka beroperasi pada 2021.

Tarikh berkuatkuasa ialah pada tarikh Impiana Cherating mengesahkan bahawa premis yang dipajak sudah boleh beroperasi untuk sewa atau enam bulan dari tarikh Silver Max mengambil alih premis yang dipajakkan itu, mana satu lebih dulu.

Syarat pembaharuan adalah lima tahun dari tarikh permulaan penggal pertama tertakluk lanjutan automatik lima tahun selepas penggal kedua dengan pilihan melanjutkan pajakan itu untuk penggal ketiga, jika dipersetujui kedua-dua pihak.

Menerusi perjanjian itu, Silver Max akan memperoleh pulangan sewa sebanyak 5.0 peratus bagi lima tahun pertama daripada harga belian bersih dengan kenaikan 2.0 peratus setahun daripada pulangan sewa tahun sebelumnya.

Bagi tempoh kedua iaitu tahun keenam hingga ke-10, peningkatan 3.0 peratus daripada tempoh pertama pulangan sewa.

Mengulas mengenai perkembangan itu, Azrin berkata, kerjasama berkenaan menyaksikan kesungguhan Impiana untuk mengangkat Cherating sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia dan pembelian Silver Max Asia Pacific Labuan ini menandakan keyakinan pelabur di Cherating amnya dan Impiana khususnya.

“Projek ECRL akan mempunyai stesen di Cherating dan ini akan meningkatkan lagi sambungan dan akses Cherating.

“Dengan ECRL dan lebih banyak penerbangan antarabangsa mendarat di Lapangan Terbang Kuantan, Cherating akan lebih terbuka untuk dunia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sementara itu, Alfonso Chu berkata, pelaburan di Impiana Cherating akan memberi pulangan kukuh kepada kumpulan.

“Dengan kedudukannya terletak di lokasi tumpuan serta pengalaman 25 tahun Impiana sebagai hotel antarabangsa, kami optimis ia adalah pilihan terbaik,” katanya.

395 dibaca
Berita Harian X