Khamis, 5 September 2019 | 5:49pm
Projek Bandar Serenia di Dengkil, Sepang. NSTP/Mohd Fadli Hamzah.

Dua lagi fasa Bandar Serenia akan dilancar

SEPANG: Pemaju hartanah, Sime Darby Property Bhd (Sime Darby Property) merancang untuk melancarkan dua lagi fasa projek kediaman di perbandaran Bandar Serenia pada dalam tempoh dua tahun akan datang dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM440 juta.

Pengurus Besar (Unit Perniagaan 2) Sime Darby Property, Ir Mohd Idris Abdullah, berkata fasa A9 yang membabitkan pembinaan 324 unit rumah teres dua tingkat berkeluasan 20 x 70 kaki persegi dijangka dilancarkan pada Ogos 2020.

Katanya, bagi projek fasa A10 pula, membabitkan sejumlah 408 unit rumah teres dua tingkat dan dijangka diperkenalkan kepada umum pada Jun 2021.

“Kedua-dua projek berkenaan adalah sebahagian daripada perbandaran bercampur Bandar Serenia dengan keluasan 959 hektar yang mula dibangunkan sejak 2013.

“Keseluruhan projek perbandaran ini dibahagikan dalam tiga fasa berbeza iaitu fasa satu membabitkan projek Cipta Serenia, fasa dua (Cipta Utara, Cipta Serenia dan Aman Serenia) serta fasa tiga (Bayu Serenia dan Puncak Serenia).

“Terbaharu, kami menawarkan 75 unit rumah teres dua tingkat di Serenia Arina Fasa dua yang mencatat 80 peratus kadar pengambilan sejak dilancarkan 19 Ogos lalu.

“Kami menyasar untuk mencatat jumlah pengambilan 100 peratus bagi fasa berkenaan menjelang akhir bulan ini,” katanya pada sesi penerangan kemajuan Bandar Serenia kepada media di sini, hari ini.

Pelan induk Bandar Serenia yang dibangunkan merangkumi tiga komponen utama iaitu kediaman, lot perindustrian dan juga pusat komersial.

Mengulas lanjut, Mohd Idris berkata projek Bandar Serenia mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dengan kejayaan pihaknya mencatat kadar pengambilan 100 peratus bagi hampir semua projek yang sudah dilancarkan sebelum ini.

“Kami tidak melihat adanya sebarang isu besar yang mengganggu kelancaran projek. Walaupun pasaran hartanah masih lembab dan berlaku masalah pembiayaan pinjama ditolak pihak bank, namun pembeli bersilih ganti dengan kadar agak pantas.

“Antara keunikan yang ada pada perbandaran ini termasuklah lokasinya yang strategik di sepanjang Lebuh raya ELITE dan mempunyai akses yang mudah kepada pelbagai kemudahan seperti sekolah, universiti dan hospital,” katanya.

Berita Harian X