Jumaat, 30 Ogos 2019 | 7:34pm
Mah Sing Group Bhd

Mah Sing mampu capai sasaran jualan RM1.5 bilion

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) yakin mencapai sasaran jualan RM1.5 bilion bagi tahun kewangan semasa dengan tumpuan utama diberikan kepada segmen rumah mampu milik.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, keyakinan itu diperoleh bersandarkan kepada jumlah jualan terkumpul yang dicatat sehingga 30 Jun lalu iaitu sebanyak RM761.4 juta.

Katanya, 81 peratus daripada sasaran jualan setahun penuh adalah daripada hartanah kediaman yang berharga bawah RM700,000.

“Hartanah masih lagi menjadi ases yang disifatkan satu daripada bentuk pelaburan yang selamat dan boleh dilindungi berbanding inflasi. Kami percaya hartanah dalam julat mampu milik dan berada di lokasi yang baik masih mendapat permintaan yang baik.

“Kami positif bahawa projek hartanah kami akan terus mendapat sambutan daripada pembeli didorong oleh rekod kami yang kukuh dan kewujudan jenama yang sudah stabil dalam pasaran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Disokong oleh status kewangan yang sihat dengan aliran tunai dan baki bank sebanyak RM1.3 bilion, Mah Sing akan terus memberi tumpuan untuk membeli lebih banyak tanah di kawasan utama di Lembah Klang.

Tahun ini, Mah Sing sudah membeli tiga tanah utama di Kuala Lumpur iaitu M Oscar di Kuchai Lama, M Luna di Kepong dan M Adora di Wangsa Melawati.

Hoy Kum berkata, semua tanah berkenaan didatangkan sekali dengan arahan pembangunan yang diluluskan dan ia membolehkan projek berkenaan dibangunkan segera.

“M Oscar kini sudah dibuka untuk pendaftaran bagi mereka yang berminat manakala M Luna dan M Adora akan dibuka pada suku keempat tahun ini.

“Semua tiga projek berkenaan dijangka menawarkan harga permulaan di bawah RM500,000 dan ia sekali gus mengukuhkan komitmen Mah Sing dalam mengembangkan pemilikan tanahnya bagi projek dengan harga mampu milik di lokasi strategik di Lembah Klang,” katanya.

66 dibaca
Berita Harian X