Rabu, 28 Ogos 2019 | 6:54pm
Sime Darby Property melancarkan projek kediaman terbarunya, Serenia Arina yang ditawarkan pada harga bermula RM628,888.

Fasa 1 Serenia City catat jualan 100 peratus

KUALA LUMPUR: Permintaan produk hartanah di koridor selatan Kuala Lumpur terus kukuh apabila Serenia Arina, pembangunan ketiga milik Sime Darby Property yang terletak di perbandaran Serenia City, Sepang mencatatkan kadar pengambilan sehingga 91 peratus dalam tempoh hanya seminggu selepas dilancarkan.

Pembeli mengambil peluang sempena kempen Spotlight 8 dengan membeli 160 unit daripada 175 unit rumah teres dua tingkat ketika pelancarannya pada minggu lalu.

Pengurus Besar Sime Darby Property, Ir Mohd Idris Abdullah, berkata prestasi memberangsangkan itu membuktikan permintaan bagi pembangunan kediaman di Sepang kekal kukuh meskipun keadaan pasaran semasa yang perlahan.

“Rancangan awal kami adalah untuk melancarkan hanya 100 unit fasa 1 tetapi kerana selepas kadar pengambilan 100 peratus pada hujung minggu, kami memutuskan untuk membuka tambahan 75 unit fasa 2 bagi Serenia Arina,” katanya.

Pelancaran itu sempena tawaran kempen Spotlight 8 yang memberi peluang kepada pembeli melihat produk hartanah yang dibangunkan Sime Darby Property menerusi Tawaran Hujung Minggu dan pelancaran baharu di semua perbandarannya di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor.

Kempen Spotlight 8 berlangsung dari 13 Julai hingga 29 September 2019, dengan Tawaran Hujung Minggu dan pelancaran baharu diadakan setiap hujung minggu sepanjang tempoh kempen.

Kempen itu menyaksikan empat pelancaran hartanah pegangan bebas, tiga bertanah dan satu pembangunan berstrata di lokasi strategik di Lembah Klang dan Tawaran Hujung Minggu yang mana pakej jualan khas ditawarkan di pelbagai jenis hartanah terpilih di perbandaran Sime Darby Property.

Serenia Arina adalah pembangunan pegangan bebas dengan saiz pembangunan seluas 8.9 hektar terdiri daripada 200 unit rumah berkembar dua tingkat 22 x 75.

Harga bermula RM628,888 sebelum diskaun Bumiputera bersama pakej jualan menarik dan ia dijangka siap pada Ogos 2021.

Serenia City terletak di dalam koridor pertumbuhan selatan Kuala Lumpur dan hab digital utama Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama di dunia.

Ia dihubungkan dengan Lebuh Raya ELITE melalui Persimpangan Bandar Serenia, dan dihubungkan dengan Lebuhraya Dengkil, Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya MEX.

Serenia City juga terletak berhampiran Stesen ERL Salak Tinggi, KLIA dan KLIA2 dan International Xiamen University serta Mitsui Outlet Park.

102 dibaca
Berita Harian X