Selasa, 23 Julai 2019 | 12:45pm
PEMANGKU Ketua Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri. - Foto Mahzir Mat Isa

Pasaran hartanah ambil masa untuk pulih

KUALA LUMPUR: Kelembapan pasaran hartanah yang sedang melanda negara ini mungkin mengambil masa beberapa tahun lagi untuk pulih.

Pemangku Ketua Eksekutif Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri, berkata pasaran hartanah bergantung kepada jumlah permintaan yang diperoleh dan ia juga berkait rapat dengan situasi ekonomi yang berlaku di peringkat global dan tempatan.

“Apa yang berlaku sekarang, ekonomi global juga menunjukkan prestasi yang tidak begitu memberangsangkan, justeru, pasaran hartanah di negara ini mungkin memerlukan sedikit masa lagi untuk kembali pulih.

“Selain itu, pasaran hartanah juga bertindak sebagai petunjuk yang terkebelakang,” katanya selepas merasmikan kempen ‘Great Minds’ yang diadakan dengan kerjasama Yayasan Sime Darby, di sini, hari ini.

Kempen yang berlangsung selama lima bulan itu bertujuan membangunkan komuniti rakyat yang sihat menerusi aktiviti sukan, nasihat dan pembabitkan masyarakat.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah Ketua Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr Yatela Zainal Abidin.

Sementara itu, beliau berkata langkah membenarkan peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) yang disenarai hitam untuk membeli rumah masih perlu dikaji.

“Apa sekalipun, ia kembali kepada disiplin untuk membuat pembayaran balik. Ia mudah saja, jika anda meminjam, anda perlu membayar semula.

“Jadi, apabila peminjam PTPTN yang disenarai hitam Sistem Rujukan Maklumat Berpusat (CCRIS), ia adalah petanda awal mungkin mereka tidak mempunyai disiplin untuk membayar balik pinjaman.

“Jika peminjam berkenaan tidak mempunyai kerja, ia masih boleh difahami tetapi ramai peminjam sebenarnya sudah mempunyai kerja tetapi mereka masih tidak mempunyai disiplin untuk membuat bayaran.

“Justeru, apabila bank mengetatkan syarat pinjaman perumahan, ia kerana bank mahukan jaminan pembayaran balik sepanjang tempoh pembiayaan,” katanya.

Berita Harian X