Jumaat, 19 Julai 2019 | 2:17pm
Projek Kyra di Bandar Bukit Raja Klang.

Kempen Spotlight 8 bermula positif

PETALING JAYA: Sime Darby Property Bhd mencatatkan jualan 80 peratus semasa pelancaran projek pembangunan rumah teres dua tingkatnya, Kyra yang terletak di Bandar Bukit Raja Klang.

Jualan itu dicatat menerusi kempen terbaharu yang dijalankan syarikat berkenaan iaitu Spotlight 8 pada hujung minggu lalu yang menawarkan peluang kepada pelanggan untuk membeli pelbagai jenis hartanah Sime Darby Property.

Kempen Spotlight 8 menawarkan jualan hartanah di kesemua projek perbandaran yang dibangunkan Sime Darby Property termasuk di Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Johor.

Pengurus Besar Sime Darby Property, Ir Mohd Idris Abdullah, berkata Kyra adalah produk pertama yang dijual menerusi kempen Spotlight 8 yang berlangsung dari 13 Julai hingga 29 September depan.

Katanya, Kyra merangkumi pembangunan 194 unit pegangan bebas rumah dua tingkat dengan keluasan 20 kaki persegi x 75 kaki persegi.

“Harga bagi seunit rumah berkenaan bermula dari RM563,888 dan ia diperkenalkan selaras dengan lanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 sehingga 31 Disember depan.

“Menyusuli kejayaan projek Elsa, produk mampu milik pertama yang kami perkenalkan pada April lalu, setakat ini Kyra menunjukkan prestasi jualan yang memberangsangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Mohd Idris berkata maklum balas yang diterima pihaknya berhubung produk kediaman mampu milik menunjukkan Sime Darby Property kini menuju ke arah yang tepat dalam menyediakan perumahan mampu milik dalam persekitaran yang selamat dan selesa.

“Selain itu, kami juga menyediakan kemudahan yang menyokong pembinaan komuniti dan pembabitan keluarga selain gaya hidup yang sihat.

“Ini adalah apa yang sesebuah keluarga dan generasi akan datang dapat nikmati di Bandar Bukit Raja,” katanya.

Bandar Bukit Raja mempunyai sambungan menerusi lebuh raya utama seperti Lebuhraya Lembah Klang Baharu (NKVE); Lebuhraya Persekutuan; Lebuhraya Shapadu dan juga Lebuhraya Pantai Barat (WCE) yang akan siap tidak lama lagi.

Berita Harian X