Khamis, 18 Julai 2019 | 8:42pm
The Club@Rimbayu (The Club). NSTP/Faiz Anuar

IJM Land lancar The Club@Rimbayu

TELOK PANGLIMA GARANG: Pemaju perbandaran Bandar Rimbayu, IJM Land Bhd (IJM Land) melancarkan rumah kelab di Bandar Rimbayu yang dikenali sebagai The Club@Rimbayu (The Club).

Kemudahan yang dibangunkan dengan nilai RM26 juta itu khusus untuk ahli berdaftar dan disediakan bagi menjanjikan pengalaman terbaik untuk seisi keluarga dan rakan-rakan yang mendiami kawasan perbandaran berkenaan.

Pengurus Besar Kanan Bandar Rimbayu, Chai Kian Soon, berkata antara kemudahan dan aktiviti yang disediakan termasuklah kolam renang bersaiz Olimpik, kolam renang kanak-kanak, alat permainan air, jakuzi, sauna dan dewan serbaguna.

“Pada masa kini, kualiti dan gaya hidup pmenjadi keutamaan generasi bandar moden dan pembangunan rumah kelab ini bertujuan memupuk gaya hidup sihat di kalangan penghuni di sini.

“Dengan peningkatan taraf hidup rakyat di negara ini, The Club dilihat mampu menjadi alternatif terbaik berbanding kemudahan luar yang lebih mahal seperti gimnasium dan gelanggang sukan.

“The Club menawarkan harga keahlian yang berpatutan untuk kemudahan yang inklusif. Selain mendapat akses kemudahan yang tersedia setiap hari, pengguna juga dapat menikmati masa lapang dengan melakukan hobi mereka dalam persekitaran bandar yang selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran The Club di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan IJM Land Bhd, Edward Chong.

Bandar Rimbayu adalah perbandaran terbaharu yang dibangunkan IJM Land di atas tapak seluas 760 hektar.

Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM11 bilion, Bandar Rimbayu akan menjadi sebuah kawasan perbandaran bersepadu dengan komponen pusat kediaman, pusat komersial dan pusat rekreasi yang terdiri daripada empat presint iaitu Flora, Fauna, Bayu dan Hub Komersil.

Mengulas lanjut, Kian Soon berkata Bandar Rimbayu juga bakal mempunyai cawangan Starbucks dengan tapak premis seluas 3,734 kaki persegi.

“Ia terletak di sebelah The Club dan Starbucks amat sinonim dengan gaya hidup bandar moden yang akan menjadi tambahan perangsang bagi penduduk Bandar Rimbayu,” katanya.

Berita Harian X