Ahad, 14 Julai 2019 | 8:09pm
Laman web Sime Darby Property yang melancarkan kempen Spotlight 8.

Sime Darby Property lancar Kempen Spotlight 8

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property melancarkan kempen Spotlight 8 yang menawarkan tawaran hebat hujung minggu terhadap produk sedia ada dan memberikan pelanggan peluang membeli hartanah baharu merentasi lapan lokasi di Greater Lembah Klang dan Johor.

Spotlight 8 bermula 13 Julai sehingga 29 September 2019, dengan tawaran hebat dan pelancaran baharu berlaku setiap hujung minggu sepanjang tempoh kempen itu, kata pemaju hartanah itu dalam satu kenyataan.

Kempen itu akan menawarkan empat hartanah baharu untuk jualan bermula unit kediaman bertanah dan bukan bertanah, yang terletak terletak strategik dalam Lembah Klang.

Kempen Spotlight 8 bermula di Bandar Bukit Raja, Klang, dengan pelancaran Kyra, rumah bersambung dua tingkat pegangan bebas berkeluasan 20’x75’.

Ia adalah siri terkini koleksi rumah mampu milik Sime Darby Property, yang diperkenalkan sejajar dengan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) peringkat kebangsaan yang berlangsung sehingga 31 Disember ini.

HOC menawarkan pembeli minimum diskaun 10 peratus bagi hartanah pasaran terbuka dan pengecualian duti setem bagi unit kediaman berharga antara RM300,000 dan RM2.5 juta.

Hartanah lain yang akan dilancarkan ialah Arina, rumah bersambung dua tingkat pegangan bebas berkeluasan 22’X 75’ di Serenia City, Sepang, rumah superlink di Bukit Jelutong dan Aurora, projek hartanah bertingkat berasaskan projek dipacu komuniti (dto) di Subang Jaya City Centre.

dto adalah platform pengalaman dalam talian pertama di Malaysia berdasarkan penciptaan bersama (co-creation) dan penyumberan orang ramai (crowd-sourcing) yang dijangka bakal mengubah corak pembelian hartanah pada masa depan.

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Gerard Yuen Yun Wei, berkata kempen Spotlight 8 adalah perlanjutan kempen Primetime 8, yang dilaksanakan dengan jayanya bermula Mac hingga April lalu.

Beliau berkata, jualan bernilai RM1 bilion berjaya dicatatkan sepanjang kempen dua bulan itu berlangsung dan kini kembali lagi untuk mempamerkan produk baharu yang menarik, merangkumi siri mampu milik sehingga dto.

“Kami sangat teruja untuk melihat sambutan orang ramai terhadap Aurora, pembangunan pertama dto. Produk ini adalah hasil daripada budaya penciptaan baharu yang kami laksanakan yang mana masyarakat menentukan hasil pembangunan.

“Siapa tahu, ini boleh menjadi cara masa depan untuk pembangunan akan datang kami,” katanya.

Tawaran hebat hujung minggu hanya bagi hartanah terpilih di setiap lokasi kempen Spotlight. Produk termasuk The Ridge dan Veo di KL East, Lot 15 in SJCC, Avalon di USJ Heights, Castilla di Chemara Hills, Negeri Sembilan dan Harmoni Permai di Johor.

Berita Harian X