Isnin, 1 Julai 2019 | 2:02pm
Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Sunway, Sarena Cheah (dua dari kiri) memeterai perjanjian penswastaan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain untuk memajukan pembangunan bercampur di Kota Damansara.

Sunway bina pembangunan bercampur RM544 juta

PETALING JAYA: Sunway Bhd memeterai perjanjian penswastaan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui anak syarikat 60:40 dengan PKNS, Sunway PKNS Sdn Bhd, untuk memajukan pembangunan bercampur di atas tanah pegangan pajak 9.5 ekar di Kota Damansara.

Pengarah Urusan Bahagian Hartanah Sunway, Sarena Cheah memeterai perjanjian itu bagi pihak Sunway PKNS Sdn Bhd bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNS, Datuk Mohd Azizi Mohd Zain.

Cadangan pembangunan itu akan merangkumi apartmen servis dan unit runcit gaya hidup dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM544 juta dan disasarkan siap pada 2025.

Terletak di kejiranan matang Kota Damansara, cadangan pembangunan itu akan dikelilingi oleh pelbagai kemudahan peruncitan termasuk Sunway Giza, Sunway Nexis dan IKEA Damansara; institusi pendidikan seperti Sri KDU dan SEGi University, selain beberapa institusi penjagaan kesihatan.

Sunway juga menyasarkan untuk membuka sebuah pusat penjagaan kesihatan di kawasan pembangunan itu pada 2022.

Mudah diakses melalui lebuh raya utama seperti Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) yang akan siap tidak lama lagi, cadangan pembangunan itu terletak kira-kira tiga kilometer dari stesen MRT Kota Damansara serta Persiaran Surian.

Sunway dalam kenyataannya berkata, Sunway PKNS akan membayar nilai hak RM36.6 juta, bahagian hasil RM50 juta atau jumlah bersamaan dengan 8.88 peratus nilai jualan kasar pembangunan tanah berkenaan.

Ia, katanya ditolak dengan diskaun Bumiputera yang diluluskan oleh pihak berkuasa berkaitan, diskaun jualan lain dan kos insentif pembelian yang ditawarkan oleh Sunway PKNS kepada pembali hartanah yang akan dibangunkan di atas tanah berkenaan, yang mana lebih tinggi.

“Selain itu, ia ditolak sebahagian keuntungan sebelum cukai daripada cadangan pembangunan berjumlah RM38 juta, memandangkan PKNS adalah pemegang saham yang memegang 40 peratus dalam Sunway PKNS,” katanya.

Cadangan pembangunan itu akan menambah 9.5 ekar kepada simpanan tanah Sunway, sekali gus memberikan sokongan kepada pendapatan masa depan kumpulan.

Termasuk tanah itu, simpanan tanah Sunway kini seluas 3,284 ekar termasuk di Malaysia, Singapura, China dan India dengan GDV RM56.6 bilion.

Jualan belum dibilkan Sunway adalah RM2.2 bilion setakat Mac 2019.

Setakat tahun ini, Sunway telah melaksanakan pembangunan Sunway Onsen Suites, Sunway Avila dan Sunway Velocity Two.

Pembangunan terbabit diterima dengan baik, dengan purata kadar pembelian sehingga 80 peratus.

Bagi 2019, Sunway menjangkakan pelancaran bernilai sehingga RM2 bilion.

Berita Harian X