Rabu, 26 Jun 2019 | 5:41pm
TIAH Joo Kim

TA Global akan lancar dua projek pembangunan utama tahun ini

KUALA LUMPUR: TA Global Bhd akan melancarkan dua projek pembangunan utama, iaitu ALIX Residences di North Kiara dan TA 3&4 berdekatan Kuala Lumpur City Centre dengan gabungan nilai pembangunan kasar RM2.9 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tiah Joo Kim, berkata ALIX Residences adalah pembangunan kondominium mewah dengan dua blok setinggi 38 tingkat dan 25 tingkat dengan jumlah keseluruhan 364 unit kediaman dan akan dilancarkan pada 12 Julai.

TA 3&4 yang memiliki dua menara masing-masing setinggi 58 tingkat dan 66 tingkat dijangka memulakan pembinaan pada suku keempat 2019 dan siap pada suku keempat 2023.

“Dalam keadaan pasaran sekarang di tengah-tengah senario lebihan bekalan bagi segmen tertentu dan pengguna yang kurang berkemampuan, kami menyusun semula pembangunan pangsapuri bersaiz besar ini pada harga yang kompetitif,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat, di sini, hari ini.

TA Global memiliki simpanan tanah seluas 286.8 hektar di Malaysia dengan 241.9 hektar terletak di kawasan strategik di Lembah Klang.

“Ketika ini, 58.5 hektar simpanan tanah di Lembah Klang dan Johor sedang dalam perancangan dan pembangunan. Projek yang sedang dalam perancangan disasar dijual dalam tahun kewangan 2019 dan 2020,” kata Joo Kim.

Di tengah-tengah keadaan pasaran yang suram, pada akhir 2018, kumpulan berjaya mencatatkan nilai jualan kasar sebanyak RM324 juta yang mewakili 65 peratus daripada jualan 668 unit pangsapuri berperkhidmatan Ativo Suites di Damansara Avenue sejak pelancarannya pada Mac 2018.

Perancangan kumpulan pada tahun-tahun akan datang akan menumpukan kepada projek pembangunan lain, termasuk Nova Square dan perbandaran kediaman di Kluang, Johor.

Keuntungan bersih TA Global bagi suku pertama yang berakhir 31 Mac 2019 turun kepada RM121.71 juta daripada RM230.15 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, manakala hasil susut kepada RM193.86 bilion daripada RM979.55 bilion sebelumnya. - BERNAMA

Berita Harian X