Khamis, 9 Mei 2019 | 4:42pm
Pengarah Eksekutif Bahagian Pembangunan Hartanah Wilayah Tengah Sunway Property, Chong Sau Min.

Sunway Property bakal lancar dua lagi projek baharu

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Sunway Property akan melancarkan dua lagi projek pembangunan baharu tahun ini di sekitar Lembah Klang dan Selangor dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM330 juta.

Dua projek itu adalah projek pembangunan bersepadu, Sunway Avila di Wangsa Maju, Kuala Lumpur dengan GDV RM230 juta dan projek pembinaan rumah bandar di Sunway GEOLake Residences di Bandar Sunway, Petaling Jaya (GDV RM100 juta).

Pengarah Eksekutif Bahagian Pembangunan Hartanah Wilayah Tengah, Chong Sau Min, berkata projek Sunway Avila akan dilancarkan pada 25 Mei ini manakala projek rumah bandar Sunway GEOLake Residences pula akan dilancarkan pada Jun depan.

Sau Min berkata, pihaknya tidak membuat pelancaran projek baharu secara agresif pada tahun ini tetapi apabila Sunway Property melancarkan projek, kami amat yakin dengan maklum balas yang akan diterima terhadap projek berkenaan.

“Walaupun maklum balas pasaran tidak begitu kuat pada masa ini tetapi kami masih berjaya mencatat jumlah tempahan dan jualan yang memberangsangkan untuk projek yang kami bangunkan,” katanya pada sesi temubual dengan BH di Galeri Jualan Sunway Avila, di sini, hari ini.

Pada Mac lalu, Sunway Property telah melancarkan blok kedua projek pembangunan Sunway Velocity 2 di Cheras dengan nilai GDV RM300 juta.

Sunway Property adalah cabang hartanah Sunway Bhd yang kini memiliki sejumlah 1,331 hektar simpanan tanah dengan GDV sebanyak RM56.8 bilion.

Ia membabitkan 54 peratus kawasan di Johor, 28 peratus di Lembah Klang, enam peratus di Pulau Pinang, lapan peratus di Singapura dan empat peratus di beberapa lokasi lain.

Mengulas lanjut, Sau Min berkata selain pelancaran projek baharu, pihaknya juga turut memperuntukkan pelaburan sebanyak RM1.6 bilion bagi pengembangan dan pembinaan projek pembangunan lain di wilayah tengah seperti pembinaan pusat perubatan, sekolah antarabangsa dan blok penempatan pelajar.

“Kesemua projek berkenaan dibangunkan dalam perbandaran bersepadu pihaknya bagi memastikan kelestarian bagi pelabur, pemilik rumah dan perniagaan berdasarkan model Bina-Miliki-Kendali pihaknya.

“Daripada jumlah itu, RM260 juta akan digunakan untuk pembinaan Sunway Medical Velocity; Sunway Monash University Residences fasa dua (RM289 juta); fasa baharu Pusat Perubatan Sunway (RM850 juta) dan Sunway International School (RM200 juta).

“Kesemua projek berkenaan akan siap sepenuhnya antara suku kedua tahun ini hinggalah suku pertama tahun 2022,” katanya.

Berita Harian X