Jumaat, 19 April 2019 | 12:31pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib.

UEM Sunrise rancang bangun projek di Afrika Selatan

JOHOR BAHRU: UEM Sunrise Bhd sedang mengadakan perbincangan dengan rakan kongsi berpotensi di Afrika Selatan untuk bersama-sama membangunkan projek bangunan tinggi di tapak seluas 12.43 hektar di Durban.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata beliau akan ke Afrika Selatan pada Julai ini untuk membuat susulan terhadap perkembangan perbincangan dan berharap kedua-dua pihak akan memeterai perkongsian pada hujung tahun.

"Durban ialah pelabuhan kontena dan kargo terbesar di Afrika Selatan dan antara pelabuhan paling sibuk di Afrika. Ia pintu masuk utama bagi pergerakan barangan ke Afrika Selatan.

"Semua peruncit dan pembuat kereta seperti Lexus, Toyota, BMW ada di situ, dan tanah kami terletak berhampiran pelabuhan Durban. Apabila adanya syarikat seumpama itu, ia menunjukkan aktiviti ekonomi di kawasan itu amat mengujakan," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada lawatan media selama dua hari ke UEM Sunrise di Iskandar Puteri dan galeri jualan hartanah Singapura dari 17 April.

Anwar Syahrin berkata, keperluan bagi rakan kongsi Afrika Selatan adalah disebabkan mereka lebih arif dengan ekosistem peniagaan, rangkaian dan pembekal di negara itu.

"Untuk permulaan, kami akan melaksanakan pembangunan di dua tapak termasuk apartmen serta kedai runcit dan hotel, dan sekiranya ia berjalan lancar (projek diterima baik), kami jangka nilai baki tanah akan meningkat," katanya.

Bagaimanapun, katanya pembangunan projek hartanah itu juga akan bergantung pada iklim ekonomi yang secara tidak langsung telah menjejaskan sentimen pasaran.

"Ketika ini, orang ramai agak berhati-hati berikutan keadaan tidak menentu di peringkat global, contohnya, kita dapat melihat keadaan pasaran yang agak sukar dan kejatuhan harga hartanah di Australia.

"Jadi, kami perlu lebih berhati-hati dan tidak mahu terlalu agresif untuk melancarkan terlalu banyak projek pada masa yang sama," katanya.

Di sebalik prospek kurang memberangsangkan di Australia, tiada masalah dihadapi syarikat berhubung projek apartmennya di Melbourne iaitu Aurora dan Conservatory, kerana ia berada di landasan untuk menjual semua unitnya yang telahpun diserahkan kepada pembeli.

Aurora telah dijual sepenuhnya manakala Conservatory telah mencatatkan kadar jualan 96 peratus pada akhir Disember 2018.

Conservatory adalah projek kedua UEM Sunrise di Australia, dengan yang pertamanya adalah Aurora Melbourne Central.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan pasaran lemah turut membuka peluang kepada UEM Sunrise, terutama apabila berkaitan urus niaga pelaburan yang baik.

"Ia masa yang baik untuk membeli apabila orang terdesak untuk menjual.. untuk strategi kami akan datang, kami merancang untuk membangunkan kediaman pada harga munasabah dengan penduduk tempatan Australia sebagai sasaran pasaran," katanya.

Ditanya sama ada UEM Sunrise merancang untuk menerokai pasaran luar negara yang lain, beliau mengakuinya dan berkata United Kingdom (UK) akan menjadi sasaran jangka panjang mereka.

-BERNAMA

Berita Harian X