Khamis, 18 April 2019 | 1:23pm
ANWAR Syahrin Abdul Ajib

UEM Sunrise peruntuk tanah untuk pembangunan HSR

ISKANDAR PUTERI: Pemaju hartanah terkemuka yang juga pemaju induk Iskandar Puteri, UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) sudah memperuntukkan tanah seluas 28 hektar bagi pembinaan stesen projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) jika ia diteruskan.

Tanah berkenaan adalah sebahagian daripada 121 hektar yang diperuntukkan bagi pembangunan berasaskan transit (TOD) di Gerbang Nusajaya, Johor dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) antara RM15 bilion hingga RM20 bilion.

Menurut Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif UEM Sunrise, Anwar Syahrin Abdul Ajib, pada masa ini pihaknya tidak membuat sebarang pembangunan di atas tapak berkenaan walaupun sudah mempunyai pelan induk yang direka oleh firma antarabangsa kerana beranggapan projek HSR masih berpotensi untuk diteruskan.

“Kerajaan persekutuan masih belum membatalkan projek berkenaan, jadi potensinya masih ada.

“Cuma pada masa ini kami perlu berbincang dengan kerajaan persekutuan dan mencari jalan bagaimana untuk menjimatkan lebih banyak kos.

“Sebelum ini, ada laporan mengatakan kos pembinaan sesebuah stesen HSR mencecah RM2 bilion disebabkan oleh rekaannya yang mewah, kami harap ia tidak sampai ke tahap itu,” katanya pada sidang media sempena program ‘Media Familiarisation Visit’ anjuran UEM Sunrise di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Pemasarannya, Kenny Wong Koon Keng.

Anwar berkata, pihaknya percaya kawasan sekitar Iskandar Puteri akan mendapat kesan limpah yang sangat besar sekiranya projek HSR yang menghubungkan Malaysia dan Singapura itu diteruskan.

“Saya berharap kerajaan kedua-dua negara terbabit dapat memeterai perjanjian baharu dan meneruskan projek berkenaan,” katanya.

Baru-baru ini, laporan akhbar memetik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata negara tidak memerlukan perkhidmatan keretapi berkelajuan tinggi hanya antara Singapura dan Kuala Lumpur.

Katanya, ia mungkin perlu membina perkhidmatan keretapi dari Johor Bahru ke Pulau Pinang, mungkin juga sehingga ke sempadan Thailand.

Berita Harian X