Ahad, 24 March 2019 | 8:09pm
Pengurus Besar Unit Perniagaan 1 Sime Darby Property, Appollo Leong. - NSTP/Faiz Anuar

EV5 terima sambutan sangat baik

KUALA LUMPUR: Pembangunan pegangan kekal, Elmina Valley Five (EV5) di City of Elmina menerima sambutan menggalakkan dengan mencatatkan hampir 100 peratus kadar pengambilan bagi tempoh beberapa jam selepas ia dilancarkan, semalam.

Sambutan baik bagi projek yang dibangunkan hartanah terkemuka, Sime Darby Property itu mencerminkan permintaan kukuh bagi rekaan kediaman yang berkualiti tinggi selain berada di lokasi strategik dengan akses yang baik.

Daripada 164 unit atau 98 peratus daripada 168 jumlah unit yang ditawarkan di EV5, sudah ditempah pembeli, manakala bakinya terdiri daripada empat unit paling hujung (corner lot) masih dibuka untuk tempahan.

Pengurus Besar, Unit Perniagaan 1, Appollo Leong, berkata pihaknya berbangga dengan prestasi dan sambutan memberangsangkan yang diterima daripada pembeli.

“Pembangunan di City of Elmina sering menjadi pilihan dan tumpuan ramai. Pada peringkat awal, perancangan kami adalah untuk melancarkan hanya 92 unit bagi Fasa 1 EV5, tetapi berdasarkan sambutan hampir 100 peratus pengambilan, kami memutuskan untuk membuka semua 168 unit bagi fasa berkenaan.

“Ini membuktikan bahawa kualiti rumah yang ditawarkan di lokasi yang betul dengan harga yang tepat, masih memiliki permintaan meskipun berdepan dalam situasi pasaran yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, EV5 adalah sebahagian daripada perbandaran yang memiliki jaringan kesambungan yang baik serta terletak bersebelahan dengan lokasi ikonik, Elmina Central Park iaitu taman seluas 121.41 hektar yang mana 14.57 hektar daripadanya sudah siap.

“Kami menawarkan kediaman yang memiliki seni bina yang hebat, reka bentuk menarik dan praktikal serta memberi nilai kepada wang,” katanya.

Fasa kedua kediaman EV5 merangkumi keseluruhan 205 unit akan dilancarkan pada bulan depan.

Sime Darby Property sudah menyerahkan sejumlah 1,282 rumah di presint EV sejak tiga tahun lalu dan EV5 adalah presint terakhir paling popular.

Berita Harian X