Rabu, 20 March 2019 | 4:25pm
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Bhd, Anwar Syahrin Abdul Ajib pada persidangan Invest Malaysia 2019. NSTP/Eizairi Shamsudin.

UEM Sunrise sasar jualan hartanah RM1.2 bilion

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd menyasarkan jualan RM1.2 bilion bagi pembangunan hartanahnya untuk 2019, sama seperti sasaran tahun lalu.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata UEM Sunrise bakal melancarkan beberapa projek baharu dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion.

"Syarikat akan melancarkan projek berskala kecil di Puchong dan Bangi di Selangor dan di Gerbang Nusajaya di Iskandar Puteri tahun ini dengan harga jualan dari RM500,000 hingga RM1 juta seunit.

"Jika dahulu kami melancarkan projek sehingga 400 unit, namun kini saiznya lebih kecil iaitu di antara 150 hingga 200 unit dengan GDV juga lebih rendah.

"Kami akan melihat maklum balas daripada pasaran terlebih dahulu dan (jika positif), barulah kita akan melancarkan lebih banyak projek," katanya ketika ditemui selepas sesi bersama pelabur di Invest Malaysia 2019, di sini, hari ini.

Tahun lalu, UEM Sunrise mencatat jualan hartanah RM1.43 bilion, jauh melepasi sasaran RM1.2 bilion yang ditetapkan.

Keuntungan bersihnya tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018 juga melonjak 165.53 peratus kepada RM280.33 juta, berbanding RM105.57 juta pada 2017.  

Mengulas mengenai kempen pemilikan rumah (HOC), Anwar Syahrin berkata, UEM Sunrise berjaya menjual 30 unit pada kempen itu sebelum ini, jumlah tertinggi berbanding pemaju lain.

"Namun, kami juga mempunyai kempen sendiri dan ia turut membantu syarikat. Tahun lalu saja, kami berjaya menjual kira-kira RM400 juta inventori kediaman yang tidak terjual sebelum ini.

"Memang pasaran ketika ini mencabar tetapi kami masih mampu hadapinya. Ini menunjukkan strategi diguna pakai syarikat adalah berkesan," katanya.

Ditanya mengenai simpanan tanah, beliau berkata, UEM Sunrise mempunyai 5,180 hektar tanah di seluruh negara termasuk tanah usaha sama.

"Kami sedang mencari tanah yang sesuai di kawasan sentral pada harga yang berpatutan. Lokasinya adalah berhampiran dengan projek yang sedang dilaksanakan,” katanya.

UEM Sunrise juga, katanya sedang aktif meninjau peluang untuk membeli tanah di Australia selepas berjaya menyiapkan dua projek hartanah di Melbourne iaitu Aurora dan Conservatory.

Berita Harian X