Rabu, 27 Februari 2019 | 6:09pm

SP Setia sasar jualan hartanah RM5.65 bilion

KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd (SP Setia) menyasarkan jualan RM5.65 bilion bagi tahun kewangan 2019, meningkat 10 peratus berbanding 2018 disokong khususnya oleh pelbagai projek yang bakal dilancarkan tahun ini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khor Chap Jen, berkata pada tahun kewangan 2018, SP Setia mencatatkan jualan RM5.12 bilion, sekali gus melepasi sasaran RM5 bilion jualan yang ditetapkan.

Katanya, biarpun masih berdepan dengan ekonomi mencabar, SP Setia percaya angka yang disasarkan itu mampu dicapai dan menganggarkan 89 peratus akan disumbang daripada projek tempatan.

"SP Setia komited mengukuhkan kedudukan kami sebagai peneraju pemaju hartanah di Malaysia dan tahun ini kumpulan akan melancarkan pelbagai projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM6.8 bilion termasuk empat projek baharu.

"Empat projek baharu itu adalah di Setia Alaman (penambahan Setia Alam), Setia Mayuri Semenyih, Setia Tropicale Salak Tinggi dan Setia Safiro di Cyberjaya," katanya pada sidang media pengumuman prestasi kewangan SP Setia bagi tahun kewangan 2018, di sini, hari ini.

Menurutnya, SP Setia juga melancarkan fasa baharu pembangunan di Setia Alam, Bandar Kinrara, KL Eco City dan Setia Ecohill 2 termasuk projek penjenamaan semula iaitu di Setia Alamsari, Alam Sutera dan Kota Bayuemas.

Manakala, bagi projek luar negara, beliau berkata, SP Setia turut melancarkan fasa baharu di Eco Lakes dan Eco Xuan di Vietnam dengan nilai GDV RM139 juta.

Chap Jen berkata, setakat 31 Disember 2018, SP Setia mempunyai 45 projek yang masih dalam pembinaan dengan nilai jualan belum dibil sebanyak RM12.32 bilion dan kumpulan mempunyai 3,850 hektar bank tanah dengan GDV berjumlah RM149.7 bilion.

Sementara itu, beliau berkata, SP Setia berharap inisiatif pemilikan kediaman dalam Belanjawan 2019 akan membantu menggalakkan pasaran hartanah tahun ini.

"Kami menjangkakan cabaran dalam pasaran hartanah pada 2018 akan berterusan tahun ini, namun berharap permintaan hartanah akan lebih baik kerana melihat momentumnya semakin memberangsangkan," katanya.

Berita Harian X