Rabu, 2 Januari 2019 | 3:34pm

Hartanah segmen pejabat dijangka negatif

KUALA LUMPUR: Prospek sektor hartanah bagi segmen pejabat dijangka negatif dalam jangka masa sederhana tahun ini disebabkan faktor lebihan bekalan dan kadar penyewaan yang lemah.

Penganalisis AmInvestment Bank, Thong Pak Leng, berkata sektor pejabat akan berdepan dengan prestasi kurang memberangsangkan disebabkan tambahan bekalan 20 juta kaki persegi ruang pejabat di Greater Kuala Lumpur (Greater KL) yang mana pada masa ini mencatatkan 123 juta kaki persegi.

“Penambahan itu adalah menerusi pembangunan beberapa projek seperti The Exchange @ TRX, Projek Lot 91, Tradewinds Square, PNB 118 dan Cititower yang mana dijangka siap dalam tempoh empat tahun akan datang, sementara kadar penyerapan pasaran masih kekal perlahan.

“Bandaraya Kuala Lumpur akan mengalami kesan paling besar, dengan 9.7 juta kaki persegi ruang pejabat dijadualkan siap dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

“Lebih memberi tekanan dalam sektor berkenaan apabila kos pembinaan lebih tinggi dan sewa yang lemah,” katanya dalam satu laporan sektor, semalam.

Sementara itu, menurut Amanah Pelaburan Hartanah (REIT), tinjauan pasaran bagi hartanah runcit terutamanya pusat beli-belah dijangka kekal berdaya tahan dalam jangka pendek dan sederhana untuk 2019.

Berdasarkan tinjauan AmInvestment Bank bagi Pavilion REIT dan Sunway REIT, kedua-dua premis berkenaan memiliki kadar penghunian tinggi disokong oleh pengurusan yang kukuh dan jenama REIT.

Pada masa sama, Pak Leng berkata, kompleks beli-belah masih menjadi tumpuan dan pusat sehenti bagi rakyat Malaysia yang mampu memenuhi keperluan mereka seperti rangkaian pusat makanan dan minuman serta hiburan.

Secara keseluruhannya, bank pelaburan itu berpendirian, sektor hartanah masih kekal tidak berubah pada 2019.

“Tiga tahun lalu, sektor hartanah Malaysia berdepan situasi mencabar terutamanya bagi sektor kediaman berikutan harga yang tinggi, dasar pemberian pinjaman yang ketat, situasi makroekonomi tidak menentu dan sentimen pengguna yang lemah.

“Bagaimanapun, dalam tempoh 12 hingga 18 bulan yang lalu, pasaran kediaman dapat menyesuaikan diri dengan segmen hartanah mampu milik oleh pasaran utama, manakala pemaju mula mengambil beberapa pendekatan untuk mengurangkan unit hartanah tidak terjual,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya tidak meletakkan jangkaan tinggi untuk pertumbuhan sektor berkenaan untuk tempoh 12 bulan akan datang kerana ia mengambil masa untuk kembali pulih.

Berita Harian X