Jumaat, 26 Oktober 2018 | 8:03pm

Sunway, MKH bekerjasama bangunkan projek RM540 juta

PETALING JAYA: Sunway Bhd bekerjasama dengan MKH Bhd untuk membangunkan pembangunan bercampur berorientasikan transit (TOD) di Kajang bernilai RM540 juta.

Sunway, menerusi anak syarikat milik penuhnya, SunwayMas Sdn Bhd memeterai perjanjian pemegang saham bersama anak syarikat MKH, Perkasa Bernas (M) Sdn Bhd untuk sebuah syarikat kerjasama, Daksina Harta Sdn Bhd.

Ia menerusi penjualan empat saham biasa SunwayMas dalam Daksina Harta kepada Perkasa Bernas, dengan jumlah pertimbangan RM5 juta.

Harga jualan itu dipersetujui selepas mengambil kira aset bersih dan prospek perolehan Daksina.

Menerusi anak syarikat masing-masing, Sunway akan memegang 60 peratus kepentingan dalam Daksina, manakala MKH akan memegang baki 40 peratus lagi.

Syarikat usaha sama itu akan memanfaatkan trek rekod dan jenama Sunway, dengan pengetahuan dan kepakaran pasaran MKH di Kajang untuk membangunkan projek di atas tanah pegangan bebas 5.28 ekar.

Terletak kurang satu kilometer dari bandar Kajang, pembangunan itu akan dihubungkan terus ke Stesen MRT Sg Jernih melalui sebuah jambatan.

Pembangunan itu akan terdiri daripada lot komersial dan unit kediaman. Ia dijangka akan dilancarkan pada suku keempat tahun depan dan akan disiapkan dalam tempoh empat tahun.

Projek itu akan termasuk unit mampu milik, kata Sunway dalam kenyataannya semalam.

Projek itu adalah satu lagi pembangunan bersepadu berorientasikan transit Sunway di Kuala Lumpur.

Pembangunan bercampurnya di Cheras, iaitu Sunway Velocity mendapat maklum balas positif daripada orang ramai dalam tempoh beberapa tahun ini.

Ia merangkumi komponen kediaman, komersial, penjagaan kesihatan, pendidikan, hospitaliti dan elemen runcit dengan ruang awam.

Sunway Velocity TWO, yang dilancarkan baru-baru ini berhadapan pembangunan bercampur itu dijangka menambah lebih nilai kepada penduduk setempat di Cheras.

Cadangan usaha sama itu dijangka tidak memberikan kesan material serta merta kepada perolehan sesaham, aset bersih sesaham dan paras gearan Sunway bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.

Berita Harian X