Jumaat, 26 Oktober 2018 | 4:01pm
Projek SP Setia di Melbourne, Australia, Sapphire by The Gardens yang dijangka siap pada 2021. - Foto NSTP
Projek SP Setia di Melbourne, Australia, Sapphire by The Gardens yang dijangka siap pada 2021. - Foto NSTP

SP Setia rasmi pembinaan projek di Melbourne

KUALA LUMPUR: SP Setia Bhd (SP Setia) merasmikan majlis pecah tanah bagi pembinaan projek menara berkembar, Sapphire By The Gardens di Melbourne, Australia yang dibangunkan dengan nilai pembangunan kasar mencecah AUD$960 juta (RM2.8 bilion).

Projek terbabit akan dimulakan pada tahun ini dan ia dijangka siap sepenuhnya pada penghujung 2021.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Nordin, berkata ia adalah projek hartanah kediaman yang kini mempunyai kadar pengambilan sehingga 95 peratus.

Beliau berkata, Sapphire By The Gardens terletak di 380 Exhibition Street, Victoria itu mempunyai 345 unit kediaman, 500 bilik di Shangri-La Hotel yang berada di sebelahnya jambatan di tingkat 45 dan 46 dengan kemudahan lima bintang.

Malah, katanya, ia juga berada berhampiran dengan restoran premium, kafe, teater, Chinatown, RMIT dan Melbourne University.

“Pembinaan menara berkembar ini begitu menarik kerana ia turut menjadikannya sebagai gerbang ke bandar melalui Taman Warisan Dunia Carlton.

“Malah, kami mempunyai kehadiran di Melbourne sejak penghujung 2010 lagi yang mana bandar ini memberi inspirasi untuk syarikat terus berkongsi komitmen dalam membina hartanah berkualiti dan lebih mampan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Antara kemudahan yang terdapat pada projek berkenaan termasuklah gimnasium, dewan utama, restoran, kelab, podium parkir kenderaan, ruang komersial serta plaza dan arked awam.

Selain itu, Sapphire By The Gardens itu turut mempunyai akses kepada pengangkutan awam seperti tram dan bas berdekatan Stesen Tren Parliament yang juga mempunyai kemudahan ke lebuh raya utama.

Wan Mohd Zahid berkata, seunit penthouse bagi projek itu berharga sekitar AUD$550,000 sehingga AUD$29 juta manakala bagi unit terhad pula sekitar AUD$1.5 juta hingga AUD$3 juta.

“Antara sasaran pembeli kami termasuklah keluarga dan pasangan muda dan mereka yang memilih untuk menetap atau kerap melawat ke Melbourne,” katanya.

Berita Harian X