Selasa, 28 Ogos 2018 | 5:47pm
KETUA Pegawai Kewangan Kumpulannya, Datuk Tong Poh Keow,. - Foto Eizairi Shamsudin

Sime Darby Property sasar 1,500 unit hartanah

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd menyasarkan pelancaran 1,500 unit hartanah dengan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM1.1 bilion pada separuh kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulannya, Datuk Tong Poh Keow, berkata Sime Darby Property akan terus memfokuskan kepada pelancaran unit hartanah mampu milik dan unit kediaman bertanah pada harga sederhana pada masa akan datang.

"Pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) telah meningkatkan sentimen pengguna.

"Bagaimanapun, pembeli dilihat masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai sebarang pengumuman daripada kerajaan termasuk pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta dasar perumahan baharu yang dijangka diumumkan pada September ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi kewangan Sime Darby Property bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018, di sini, hari ini.

Poh Keow berkata, Sime Darby Property akan memfokuskan kepada pelancaran hartanah mampu milik terutama di pembangunan perbandaran kumpulan itu seperti di Bandar Serenia, Bandar Bukit Raja, Nilai Impian dan Bandar Elmina yang mana memiliki permintaan hartanah yang kukuh.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2018, Sime Darby Property merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM640 juta, iaitu peningkatan 2.6 peratus berbanding tahun lalu, didorong oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen penyusunan  konsesi.

Kumpulan itu juga merekodkan pendapatan sebanyak RM2.35 bilion bagi tempoh dikaji, 10 peratus lebih rendah daripada yang direkodkan tahun lalu.

Berita Harian X