Khamis, 9 Ogos 2018 | 5:16pm
KETUA Pegawai Pemasaran PropertyGuru Group, Bjorn Sprengers (empat kiri), Sheldon Fernandez (tengah), di Menara Suezcap, KL Gateway. - Foto Sairien Nafis
KETUA Pegawai Pemasaran PropertyGuru Group, Bjorn Sprengers (empat kiri), Sheldon Fernandez (tengah), di Menara Suezcap, KL Gateway. - Foto Sairien Nafis

PropertyGuru sasar bantu 100,000 rakyat miliki rumah sendiri

KUALA LUMPUR: Portal hartanah, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru) menyasar untuk membantu 100,000 rakyat negara ini memiliki rumah menjelang tahun 2020, menerusi pelancaran inovasi terbaharu dikenali sebagai Mortgage Pre-Qualifier.

Inovasi berkenaan memberikan akses kepada bakal pembeli rumah untuk memeriksa kelayakan pinjaman dengan ramalan tertinggi terhadap jumlah pinjaman yang boleh diluluskan bank.

Ia inovasi pertama seumpamanya di Asia Tenggara yang dimajukan melalui kerjasama platform teknologi kewangan hartanah, Mhub serta CTOS.

Pengurus Negaranya PropertyGuru, Sheldon Fernandez berkata, ciri-ciri yang membezakan inovasi berkenaan dengan aplikasi lain adalah ia memberikan ramalan yang sangat tepat.

“Ia hanya mengambil masa selama lima minit dan percuma. Mortgage Pre-Qualifier menggunakan data kredit masa nyata yang telah disahkan untuk menghasilkan kiraan Nisbah Hutang (DSR) unik dan jumlah pinjaman yang layak diterima.

“Ini bermakna, pembeli rumah boleh mengenal pasti dengan segera sama ada mereka layak atau tidak untuk menerima pinjaman rumah dari bank, lantas dapat mengambil langkah yang betul untuk meningkatkan peluang memiliki rumah sendiri,” katanya pada sesi penerangan mengenai inovasi berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu adalah Ketua Pemasaran Kumpulan PropertyGroup, Bjorn Sprengers.

Mengulas lanjut, Sheldon berkata inovasi berkenaan juga adalah sebahagian daripada komitmen jangka panjang pihaknya berhubung dengan pemilikan rumah menerusi Program ‘Own Your Home’.

“Sebagai portal hartanah terkemuka, kami memahami kesulitan rakyat di negara ini dah kami mahu merapatkan jurang antara aspirasi dan realiti,” katanya.

PropertyGuru Malaysia adalah satu daripada cabang Kumpulan PropertyGuru, syarikat hartanah dalam talian terkemuka di Asia.

Berita Harian X