Sabtu, 7 Julai 2018 | 4:23pm

MyRumah 2018 tawar rumah mampu milik bermula RM45,000

SUNGAI PETANI: OSK Properties Sdn Bhd menawarkan 120 rumah mampu milik dengan harga bermula RM45,000 pada Pameran Hartanah MyRumah 2018 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam, di Amanjaya Mall, di sini.

Perunding Kanan Jualannya, Muhammad Tarmizi Omar, berkata menerusi projek rumah kos rendah, pihaknya membangunkan 500 unit rumah pangsa empat tingkat yang terletak di Bandar Puteri Jaya.

"Rumah ini dibangunkan selepas melihat permintaan daripada penduduk setempat terutama golongan muda yang ingin memiliki rumah sendiri dengan harga RM100,000 ke bawah.

"Untuk pameran kali ini, kita menawarkan 120 unit rumah bagi fasa pertama, dan sehingga kini sebanyak 60 orang mendaftar dan menunjukkan minat bagi memiliki rumah ini," katanya.

Muhammad Tarmizi berkata, rumah yang mempunyai keluasan 650 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air.

Pada pameran kali kedua yang disertai selepas MyRumah 2017 di Aman Central, Alor Setar, OSK Properties Sdn Bhd turut menawarkan pelbagai jenis kediaman lain iaitu Semi D setingkat, Semi D dua tingkat dan banglo dengan harga bermula RM360,000 sehingga RM848,000.

Sementara itu, UDA Land (North) Sdn Bhd menawarkan rebat sebanyak RM80,000 sehingga RM100,000 bagi pembelian rumah jenis Semi D dan banglo yang terletak di Bertam, Pulau Pinang dengan harga bermula RM865,200 hingga RM2.2 juta.

Eksekutif Pemasarannya, Noriza Mohd Hashim, berkata rebat sebanyak 10 peratus dengan tambahan empat peratus turut ditawarkan kepada 100 pembeli terawal bagi produk terbaharu iaitu 300 unit kondominium 35 tingkat di Permatang Pauh.

"Harga kondominium bermula RM494,000 dengan berkeluasan 1,100 kaki persegi, bersamaan RM389 per kaki persegi.

"Kami juga akan membiayai sepenuhnya yuran berkaitan guaman, pinjaman dan memorandum pertukaran nama," katanya.

Pameran Hartanah Myrumah anjuran kumpulan akhbar terbesar Malaysia, The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), berlangsung selama tiga hari bermula semalam dan dibuka dari jam 10 pagi sehingga 10 malam.

PERUNDING Kanan Jualan OSK Properties Sdn Bhd, Muhammad Tarmizi Omar (dua dari kiri) memberi taklimat kepada pengunjung pada Pameran Hartanah MyRumah 2018 di Amanjaya Mall, Sungai Petani. - Foto Sharul Hafiz Zam
PERUNDING Kanan Jualan OSK Properties Sdn Bhd, Muhammad Tarmizi Omar (dua dari kiri) memberi taklimat kepada pengunjung pada Pameran Hartanah MyRumah 2018 di Amanjaya Mall, Sungai Petani. - Foto Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X