Isnin, 4 Jun 2018 | 2:47pm
TAN Sri Dr Wan Zahid Wan Noordin (tengah) diiringi Datuk Khor Chap Jen dan Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi SP Setia Berhad, Datuk Wong Tuck Wai bergambar bersama pelajar-pelajar ketika Program Sambutan Hari Alam Sekitar Setia World 2018 di Setia Convention Hall, Tropika Welcome Centre, Skudai. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
TAN Sri Dr Wan Zahid Wan Noordin (tengah) diiringi Datuk Khor Chap Jen (tujuh dari kiri) dan Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Operasi SP Setia Berhad, Datuk Wong Tuck Wai (tujuh dari kanan) dan pelajar-pelajar melakukan aktiviti pengasingan plastik sebagai gimik perasmian ketika Program Sambutan Hari Alam Sekitar Setia World 2018 di Setia Convention Hall, Tropika Welcome Centre, Skudai. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim

Permintaan hartanah dijangka kembali meningkat

JOHOR BAHRU: Permintaan hartanah di negara ini dijangka kembali dalam masa terdekat selepas mengalami aliran penurunan sejak tiga tahun lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Datuk Khor Chap Jen, berkata ini berikutan sentimen pembeli hartanah, terutama golongan muda dan pembeli rumah kali pertama yang dijangka kembali meningkat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

"Sejak tiga tahun lalu pasaran hartanah sedikit mencabar dan perlahan, tetapi kita harap ia akan berubah selepas PRU-14 dan mampu meningkatkan kembali sentimen pembeli.

"Permintaan terhadap rumah ini akan sentiasa ada, tetapi ia lebih kepada peningkatan stabil yang perlahan," katanya pada sidang media sempena sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2018 di Pusat Konvensyen Setia Tropika di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi SP Setia dan Yayasan SP Setia, Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin.

Khor berkata, permintaan rumah bertanah pada purata harga RM500,000 masih ada, walaupun berdepan syarat pinjaman bank yang ketat sejak tiga tahun kebelakangan ini.

"Kita berharap perkara ini akan berubah kerana terdapat banyak permohonan dan rayuan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) daripada pembeli rumah kali pertama yang mahu pihak berkenaan melihat semula syarat yang dikenakan," katanya.

Mengenai pasaran hartanah di Johor, Chap Jen berkata, permintaan di negeri ini masih dalam keadaan baik berikutan kebanyakan pembeli masih memilih rumah bertanah berbanding hartanah strata.

Katanya, syarikatnya akan terus menawarkan hartanah bertanah kepada pembeli di negeri ini kerana ia masih mendapat permintaan tinggi.

"Permintaan hartanah bertanah di Johor masih bagus kerana kita melihat penduduk di negeri ini lebih meminati rumah bertanah. Mungkin kalau kita lihat kawasan bandar seperti di Kuala Lumpur, mereka lebih memilih hartanah strata," katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Chap Jen berkata, SP Setia akan memperkenalkan sebuah projek pembinaan perumahan di Bertam, Pulau Pinang yang dinamakan Setia Fontaines, akhir tahun ini.

Projek berkenaan merangkumi tapak pembinaan seluas 677 hektar dan akan menampilkan dua koleksi kediaman yang menawarkan rumah taman jenis teres tunggal dan teres dua tingkat, kluster, rumah berkembar dan banglo.

Antara projek SP Setia lain yang masih dalam pembinaan dibangunkan di Iskandar Malaysia, Johor; Selangor dan Kuala Lumpur.

Projek SP Setia dalam kawasan Wilayah Iskandar Malaysia pula ialah di Bukit Indah, Eco-Garden, Setia Tropika, Setia Indah, Taman Pelangi serta Taman Rinting yang juga di bawah anak syarikat mereka, I&P Group Sdn Bhd (I&P Group).

Berita Harian X