Ahad, 1 April 2018 | 3:41pm
PROJEK Sime Darby Bhd, Serenia City.

Sime Darby Property catat jualan memberangsangkan

KUALA LUMPUR: Sime Darby Property Bhd, anak syarikat Sime Darby Bhd berkata 100 peratus unit kediaman fasa pertamanya di Serenia City yang dikenali sebagai Serenia Amani, terjual dalam tempoh tidak sampai sejam selepas dilancarkan semalam.

Manakala projek pembangunannya di Nilai Impian dikenali sebagai Orkid pula mencatatkan 80 peratus jualan daripada

jumlah keseluruhan unit yang ditawarkan.

Ia sekali gus mencerminkan prospek serta reputasi mantap bagi hartanah yang dibangunkan kumpulan itu khususnya di bandaraya pesat membangun seperti Lembah Klang serta bandar besar lain.

Ketua Pegawai Operasi Perbandaran Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri, berkata ia menunjukkan terdapat permintaan yang tinggi bagi pembangunan kediaman pada harga berpatutan di Serenia City dan Nilai Impian.

Beliau berkata, konsep perbandaran yang menawarkan kemudahan sedia ada dan dirancang serta ketersambungan yang terbaik juga menjadi penanda aras prestasi memberangsangkan itu.

"Serenia Amani, pembangunan kediaman pertama di Serenia City, adalah pembangunan pegangan bebas yang meliputi 25.14 ekar dan terdiri daripada 302 unit rumah dua tingkat berangkai berkeluasan 20x70 dengan keluasan terbina daripada 1,830 hingga 2,055 kaki persegi.

"Sime Darby Property menawarkan fasa pertama sejumlah 126 unit dengan harga bermula dari RM536,888.

"Serenia City terletak secara strategik di koridor pertumbuhan selatan Kuala Lumpur dan juga KLIA Aeropolis, hab digital bagi Taman Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) pertama di dunia," katanya dalam satu kenyataan.

Serenia City yang seluas 1,775 ekar itu juga terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Persimpangan keluar masuk Bandar Serenia, yang disasarkan siap pada Oktober 2018, menghubungkan perbandaran itu secara terus ke Lebuhraya ELITE, meningkatkan lagi keterhubungan ke Serenia City selain penyambungan sedia ada

melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya MEX.

Orkid pula adalah pembangunan pegangan bebas seluas 10.07 ekar yang terdiri daripada 132 unit kediaman dua tingkat berangkai 20x65 dan 22x65 dengan empat bilik tidur dan tiga bilik mandi.

"Ia menawarkan pemilikan mudah dengan harga bermula dari RM488,888. Nilai Impian bakal menjadi pintu masuk ke Malaysia Vision Valley (MVV), sebahagian daripada pelan pertumbuhan jangka panjang Sime Darby Property.

"Pembangunan MVV yang dijangka akan berlangsung lebih 30 tahun akan menjadi lanjutan kawasan Greater Kuala Lumpur. Infrastruktur utama untuk MVV adalah projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Singapura, dengan salah satu stesen akan ditempatkan di Labu, Negeri Sembilan," katanya.

Berita Harian X