Selasa, 27 March 2018 | 6:37pm

Sime Darby Property lancar Serenia City

KUALA LUMPUR: Pemaju perbandaran utama, Sime Darby Property Bhd, melancarkan Serenia City, perbandaran baharunya yang terletak strategik di koridor pertumbuhan selatan Kuala Lumpur dan juga KLIA Aeropolis, Sabtu ini.

"Perbandaran seluas 718 hektar itu hampir dengan Putrajaya dan Cyberjaya, dan terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA2 dan stesen ERL Salak Tinggi," kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sime Darby Property berkata, Serenia City boleh dimasuki menerusi Lebuh Raya Utara Selatan dan Lebuh Raya MEX dan dihubungkan ke Lebuh Raya ELITE menerusi persimpangan keluar masuk Bandar Serenia.

"Serenia Amani, pembangunan kediaman pertama perbandaran itu akan dibuka untuk jualan semasa pelancaran rasmi pembangunan itu di Galeri Jualan Serenia City di Sepang pada 31 Mac 2018.

"Pembangunan kediaman pegangan kekal seluas 10.17 hektar itu dijangka siap pada April 2020.

"Ia terdiri daripada 302 unit kediaman berangkai 20'x70' dengan kawasan terbina daripada 1,830-2,055 kaki persegi," kata syarikat itu.

Sime Darby Property berkata fasa pertama ditawarkan sebanyak 126 unit dengan harga bermula daripada RM536,888. -BERNAMA

Berita Harian X