Jumaat, 16 March 2018 | 5:49pm

Glomac lancar lebih banyak kediaman bertanah

KUALA LUMPUR: Glomac Bhd yang berhadapan cabaran operasi mencabar dijangka menyaksikan peningkatan jualan ketara pada suku keempat berakhir 30 April 2018.

Ini berikutan sebahagian besar daripada pelancaran baharu bagi tahun kewangan 2018 dijadualkan berlangsung pada suku terakhir itu yang mana 90 peratus adalah produk kediaman bertanah di lokasi strategik.

Pelancaran sulung di Saujana Utama 5 dan Saujana Jaya di Kulai, Johor dijangka menyumbang secara positif kepada jualan suku keempat 2018.

Nilai pembangunan kasar (GDV) di Saujana Utama 5 di Sungai Buluh ialah sekitar RM24 juta, manakala GDV Saujana Jaya RM48 juta.

Glomac dijangka menangguh pelancaran pangsapuri khidmat di Saujana KLIA dan ini mengecilkan saiz GDV pelancaran baharu yang dirancang dalam tahun kewangan sebelum ini.

Penganalisis di TA Securities menyemak turun jumlah GDV pelancaran bagi tahun kewangan 2018 kepada RM542 juta daripada RM810 juta sebelumnya.

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu percaya sasaran jualan pengurusan untuk meraih antara RM450 juta dan RM500 juta sebelum ini adalah sesuatu yang sukar dicapai, selepas mengambil kira pelancaran yang disemak semula dan jualan lebih rendah diraih sepanjang tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2018.

Glomac tidak membuat pelancaran besar-besaran dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2018.

Setakat ini, kumpulan itu hanya melancarkan Saujana Perdana (Saujana Utama4) pada suku kedua tahun kewangan 2018 dengan GDV RM54 juta.

Menurut kenyataan di failkan di Bursa Malaysia, Glomac mencatat untung bersih terkumpul lebih rendah berjumlah RM7.815 juta bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Januari 2018 berbanding RM109.158 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan dalam tempoh dikaji berjumlah RM312.6 juta berbanding RM422.9 juta tempoh sama tahun sebelumnya, mewakili penyusutan 26.1 peratus, disebabkan terutamanya oleh kekurangan pelancaran baharu.

TA Securities berpandangan pendapatan tempoh sembilan bulan kumpulan itu akan mencatat peningkatan 12.7 peratus sekiranya penyelarasan ke atas pendapatan dibuat daripada pelupusan tanah berjumlah RM145.6 juta yang teriktiraf dalam suku pertama tahun kewangan 2017.

Berita Harian X