Selasa, 27 Februari 2018 | 5:40pm
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib (kiri) dengan Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise Berhad, Mohamed Rastam Shahrom semasa Persidangan Media UEM Sunrise Berhad pada Keputusan Kewangan Syarikat untuk 2017 dan Projek Yang Dirangka untuk 2018 di Pameran UEM Sunrise. - Foto Eizairi Shamsudin

UEM Sunrise sasar jualan RM1.2 bilion

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, UEM Sunrise Bhd (UEM Sunrise) menyasar jualan projek pembangunan hartanah RM1.2 bilion pada tahun ini.

Sasaran itu bakal diperoleh menerusi pelancaran beberapa projek pembangunan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) keseluruhan sebanyak RM1 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata untuk tahun ini, pihaknya akan memberi tumpuan kepada produk bagi pasaran pertengahan.

Katanya, UEM Sunrise merancang untuk melancarkan apartmen kediaman di bawah projek Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) yang dikenali sebagai Kondominium Kiara Kasih pada hujung Mac ini.

"Selain itu, fasa baharu projek pembangunan Serene Heights Bangi juga akan dilancarkan berkemungkinan pada suku ketiga tahun ini.

"Kami sedia maklum mengenai cabaran yang bakal dihadapi, namun masih kekal positif dan akan terus memanfaatkan strategi penting syarikat untuk tempoh 12 hingga 18 bulan berikutnya.

"Kami juga akan terus mencari peluang untuk memiliki tanah yang sesuai bagi pembangunan perbandaran bersepadu di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang media selepas mengumumkan prestasi kewangan syarikat bagi tahun 2017 di sini, hari ini.

UEM Sunrise Bhd mencatat peningkatan pendapatan sebanyak 58 peratus kepada RM2.9 bilion pada tahun kewangan 2017 berbanding RM1.8 bilion yang diperoleh tahun sebelumnya.

Prestasi itu adalah yang tertinggi pernah dicatatkan sejak penyenaraian syarikat berkenaan di Bursa Malaysia.

Pemaju hartanah itu juga mencatatkan keuntungan selepas cukai hampir sekali ganda pada tahun dikaji iaitu RM280 juta daripada RM147.3 juta pada tahun 2016.

Mengulas lanjut, Anwar berkata pihaknya juga akan mempertimbangkan penjualan beberapa pemilikan tanah di Johor selaras dengan strateginya untuk mengimbangi portfolio pemilikan tanah syarikat berkenaan.

"Kami kini memiliki tanah seluas lebih 4.047 hektar di Johor dan akan menggunakan hasil jualan bagi pemilikan tanah di sekitar kawasan Lembah Klang," katanya.

Berita Harian X