Isnin, 30 Oktober 2017 | 7:40pm
PENGARAH Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise Berhad, Anwar Syahrin Abdul Ajib (dua dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Pengarah Eksekutif Country View Berhad, Law Kit Tat (dua dari kanan) pada majlis menandatangani perjanjian jual beli tanah bagi pembangunan komersial di UEM Sunrise Showcase Mont Kiara, Kuala Lumpur. - Foto Aizuddin Saad

UEM Sunrise tambah simpanan tanah di Lembah Klang

KUALA LUMPUR: UEM Sunrise Bhd merancang menggunakan hasil RM310 juta daripada penjualan 66.32 hektar tanah di Iskandar Puteri, Johor kepada Country View Resources Sdn Bhd, antara lain, bagi menambah simpanan tanah di Lembah Klang.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Anwar Syahrin Abdul Ajib, berkata UEM Sunrise mempunyai simpanan tanah kira-kira 5,260.9 hektar setakat ini, dan daripada jumlah itu 4.046.8 hektar adalah di Johor.

"Penting untuk kami mencari peluang simpanan tanah di luar Johor. Ramai pihak merasakan kami terlalu menumpu kepada Johor, khususnya Iskandar Puteri.

"Ia (hasil itu) akan (turut) membantu tahap kadar hutang kami, namun lebih penting, kami akan menggunakannya untuk pelaburan infrastruktur syarikat di Puteri Harbour.

"Kami menyediakan jumlah yang agak besar untuk menjadikan Puteri Harbour lebih rancak," katanya kepada pemberita selepas menandatangani perjanjian jual beli dengan Country View Resources di Kuala Lumpur, hari ini.

Terdahulu dalam ucapan, Anwar berkata pelaburan terkini di Iskandar Puteri oleh Country View Resources menunjukkan keyakinan penggiat antarabangsa dan tempatan terhadap syarikat tersebut dan wilayah selatan.

"Berdasarkan penjualan tanah itu, kami kini mempunyai simpanan tanah hampir 4,046.8 hektar di wilayah selatan, termasuk tanah yang telah dikenal pasti untuk pembangunan usaha sama.

"Ini menunjukkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berpotensi sebanyak RM94 bilion memandangkan kami mempunyai beberapa projek berkualiti dalam perancangan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Country View Bhd, Law Kit Tat, berkata pembelian itu menandakan kedudukan syarikat semakin berkembang di Malaysia, dengan memperluaskan rekod prestasi kukuh dalam pembangunan kediaman dan komersial.

"Kami telah membina lebih 15,000 unit pelbagai jenis hartanah, termasuk kediaman, yang juga merangkumi lebih 5,000 unit rumah kos rendah di Johor," katanya.

Mengenai pelan untuk mewujudkan pembangunan bercampur, dengan membina unit kediaman dan komersial, Law berkata masih awal untuk memaklumkan perinciannya memandangkan projek berkenaan masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa. - BERNAMA

Berita Harian X