Jumaat, 27 Oktober 2017 | 4:20pm
DATUK Seri Dr Mohd Shafei Abdullah (dua, kiri), Datuk Ahmad Abu Bakar (kiri), Guy Philips (kanan) dan Low Thiam Chin di Pusat Bandar Bukit Bintang.- Foto Salhani Ibrahim
DATUK Seri Dr Mohd Shafei Abdullah (dua, kiri), Datuk Ahmad Abu Bakar (kiri), Guy Philips (kanan) dan Low Thiam Chin di Pusat Bandar Bukit Bintang.- Foto Salhani Ibrahim

BBCC jual blok hotel bernilai RM290 juta

KUALA LUMPUR: Pemaju projek Bukit Bintang City Centre, BBCC Development Sdn Bhd (BBCC) memeterai perjanjian jual beli dengan Hass Holdings Sdn Bhd (Hass Holdings) berhubung penjualan blok hotelnya setinggi 28 tingkat dengan nilai RM290 juta.

Hotel berkenaan akan diuruskan oleh Hilton dan dijenamakan sebagai Canopy by Hilton menerusi perjanjian pengurusan hotel antara Hass Holdings dan Hilton.

Menurut Pengerusi BBCC, Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, pihaknya mengalu-alukan kehadiran hotel Canopy by Hilton yang pertama di Asia Tenggara itu sebagai sebahagian daripada pembangunan bersepadu itu.

Katanya, ia menjadi bukti tarikan lokasi pembangunan yang menarik dan mampu meningkatkan imej Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan yang utama di mata dunia.

"Canopy by Hilton memilih projek yang lengkap untuk memperkenalkan jenama terbaharu mereka di negara ini.

"Ini kerana pelan induk pembangunan projek ini digabungkan dengan hab transit bersepadu membabitkan pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT), Monorel dan Transit Aliran Massa (MRT) yang akan menarik pengunjung menjadi tetamu hotel berkenaan," katanya pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan di sini, hari ini.

Kedua-dua perjanjian membabitkan tiga pihak itu ditandatangani serentak pada majlis yang sama.

Hadir sama pada majlis itu adalah Pengarah Urusan Kumpulan UDA Holdings Bhd, Datuk Ahmad Abu Bakar, Ketua Eksekutif BBCC, Low Thiam Chin, Naib Presiden Kanan (Pembangunan) Asia dan Australasia Hilton, Guy Phillips dan Pengarah Eksekutif Hass Holdings, Edwin Ha How Ming.

Hotel Canopy by Hilton itu dijangka mula beroperasi pada suku keempat tahun 2021.

Sementara itu, Phillips berkata pihaknya mendapati pasaran perhotelan masih memberangsangkan dan yakin projek itu akan mendapat sambutan menggalakkan.

"Terdapat beberapa faktor yang menyumbang seperti persekitaran yang menarik dan gaya hidup bandar yang menjadi pilihan," katanya.

INFO:

* Projek BBCC bernilai RM8.7 bilion terletak di tapak bekas Penjara Pudu yang dilaksanakan konsortium terdiri daripada UDA Holdings Berhad, Eco World Development Group Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)

Berita Harian X