Ahad, 8 Oktober 2017 | 5:15pm
PAMERAN hartanah MyRumah 2017 edisi keempat di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin
PAMERAN hartanah MyRumah 2017 edisi keempat di Petaling Jaya, hari ini. - Foto Eizairi Shamsudin

MyRumah rekod lebih 300 pembeli hartanah berpotensi

PETALING JAYA: Lebih 300 nama pembeli hartanah yang berpotensi, direkodkan oleh pemaju yang mengambil bahagian dalam pameran hartanah MyRumah 2017 edisi keempat di sini, dari Jumaat lalu hingga jam 5 petang, hari ini.

Tujuh pemaju hartanah yang terbabit dalam pameran itu masing-masing menyumbang kira-kira 50 nama pembeli berkenaan.

Pemaju terbabit ialah Magna Prima Development, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) , Pantai Berkat Sdn Bhd, Seriemas Development Sdn Bhd, Sime Darby Group, Uda Property dan World Wide Holdings Berhad.

Pengurus Besar Agensi dan Pengiklanan SME The New Straits Times Press (Malaysia) Bhd (NSTP), Roche Chew, berkata Magna Prima Development turut berjaya menjual satu unit kondominium Bandar Prima, di Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Katanya, pemaju lain pula mendapat persetujuan beberapa pengunjung untuk datang ke ibu pejabat mereka untuk melihat bilik pameran model projek kediaman yang ditawarkan.

"Lebih 300 nama yang direkodkan itu adalah hasil kunjungan lebih 10,000 orang sejak jumaat lalu sehingga kini (jam 5 petang).

"Kita jangka sehingga 10 malam ini, 2,000 orang lagi akan datang pameran MyRumah.

"Jumlah kunjungan yang sangat menggalakkan juga adalah hasil sesi forum dan ceramah yang berjaya mengetengahkan beberapa isu perumahan yang menarik seperti pengurusan kewangan, kelebihan pelaburan dan konsep pinjaman rumah," katanya ketika ditemui pada pameran berkenaan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Roche mengesahkan siri pameran hartanah, MyRumah 2017 anjuran NSTP akan diteruskan dan dijangka diadakan pada awal suku tahun depan.

"Namun, maklumat tarikh dan lokasi pameran berkenaan masih tidak boleh didedahkan.

"Maklumat berkaitan masih dibincangkan dengan pihak pengurusan tertinggi NSTP," katanya.

Berita Harian X