Selasa, 3 Oktober 2017 | 9:53pm

Sewa dulu beli kemudian unit komersial Bandar Bestari

KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh KSL Holdings Bhd, Khoo Soon Lee Realty Sdn Bhd, melancarkan dasar 'Sewa Dahulu Beli Kemudian', pakej pemilikan baru yang ditawarkan untuk membangunkan lagi Bandar Bestari di Klang.

Pengarah Projek Khoo Soon Lee, Patrick Khoo, berkata inisiatif itu diambil untuk membantu orang ramai membeli rumah yang mungkin terhad disebabkan oleh amalan pemberian pinjaman gadai janji yang lebih ketat, membetulkan sebarang kekurangan kewangan untuk melayakkan gadai janji atau mereka yang kurang wang tunai untuk bayaran pendahuluan.

"Konsep ini membolehkan bakal pembeli menyewa rumah pertama dengan sewa bulanan tertentu yang boleh ditukar menjadi deposit rumah dalam tempoh 12 bulan.

"Pendekatan dasar kepada pemilikan rumah membantu menyelesaikan masalah pembeli hartanah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khoo berkata, amalan ini bukan saja mewujudkan keadaan menang-menang bagi semua pihak tetapi juga bertujuan meningkatkan pemilikan rumah menjelang 2020.

"Kami tidak pasti berapa lama inisiatif itu akan diteruskan, tetapi jika ia membantu orang ramai dan menjadikannya lebih mudah untuk memiliki hartanah, kami mungkin mempertimbangkan konsep ini untuk jangka panjang," katanya.

Buat masa ini, konsep ini sah untuk 67 unit bandar komersial yang mempunyai pelbagai kemudahan terdiri daripada unit berkeluasan 4,600 hingga 8,500 kaki persegi dengan harga indikatif kira-kira RM1.9 juta dan 107 rumah berkembar untuk model Clermont, Argentine dan Prevenche dengan keluasan binaan antara 3,400 hingga 5,000 kaki persegi berharga RM1.5 juta. - BERNAMA

Berita Harian X