Selasa, 18 Julai 2017 | 4:30pm
PENGURUS Besar Pengiklanan Agensi/Rencana Khas NSTP, Roche Chew ketika mengadakan sidang media mengenai program Pameran Hartanah MYRUMAH 2017 di Aman Central. - Foto Amran Hamid
PENGURUS Besar Pengiklanan Agensi/Rencana Khas NSTP, Roche Chew ketika mengadakan sidang media mengenai program Pameran Hartanah MYRUMAH 2017 di Aman Central. - Foto Amran Hamid

Pameran MyRumah 2017 di Alor Setar, Ogos ini

ALOR SETAR: Pameran Hartanah MyRumah 2017, anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) bakal diadakan di Pusat Beli-Belah Aman Central, Alor Setar pada 4 hingga 6 Ogos.

Pameran itu akan menghimpunkan pelbagai pemaju hartanah utama wilayah utara, terutama dari Kedah, selain menawarkan forum yang mengetengahkan 18 pakar perunding yang akan berkongsi pengalaman mengenai pelbagai topik berkaitan hartanah, perbankan dan pelaburan.

Pengurus Besar Pengiklanan Agensi/Rencana Khas NSTP, Roche Chew Ruoh Syh, berkata pameran ini mampu menjadi platform terbaik kepada pengunjung dalam mengetahui pelbagai aspek membabitkan sektor hartanah terutama hal pembelian kediaman dan pelaburan.

Katanya, pameran ini juga mengambil pendekatan 3E iaitu Education (pendidikan), Exhibition (pameran) dan Entertaiment (hiburan) yang akan memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.

"Penganjuran MyRumah yang memasuki tahun kedua, bukan hanya mementingkan jualan unit hartanah, tetapi dijadikan lokasi rundingan hartanah pilihan pembeli, medium mendapatkan khidmat nasihat dan rundingan daripada pakar serta peluang boleh diterokai dalam sektor berkenaan.

"Ia menampilkan hampir 10 pemaju seperti Aman Setia Group, Belleview Group, Bina Darulaman Bhd, Irama Jaya Group, Oriental Interest Group, OSK Property Group, Paramaount Properties dan Sunsuria.

"Selain itu, pameran terbabit turut disertai Aman Central, Amanah Raya Bhd (Amanah Raya), Bank Muamalat Malaysia Berhad, syarikat penapis air, Cuckoo serta pengendali perkongsian kenderaan, Grab, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pengilang Korea Selatan, LG," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena penganjuran Pameran Hartanah Myrumah NSTP 2017 Alor Setar di Aman Central di sini hari ini.

Dalam pameran itu juga, pengunjung akan dihiburkan dengan celoteh pelawak dan penyampai radio Hot FM, Issey dan Haziq dengan penampilan khas, Usop Mentor dan Ezwan Ariff dari Neon Band pada hari kedua.

Selain cabutan bertuah setiap jam, MyRumah turut menganjurkan pertandingan mewarna kanak-kanak bersempena bulan kemerdekaan.

Sementara itu, Pengurus Komunikasi Pemasaran Aman Central, Wendy Wong, berkata pihaknya akan menyediakan lebih 1,390 meter persegi ruang di aras bawah pusat beli-belah itu sebagai tanda menyokong MyRumah 2017 anjuran NSTP.

"Kerjasama ini adalah sokongan kami untuk melihat lebih ramai penduduk di negeri ini memiliki rumah sendiri, selain pengunjung memperoleh ilmu mengenai pasaran hartanah, cara menguruskan kewangan serta pelaburan," katanya.

Berita Harian X