KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd (PNB) menerusi Amanah Harta Tanah PNB (AHP), mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran hartanah tempatan menerusi pembelian Mydin Mall Seremban 2 pada pertimbangan RM240 juta.
Pembelian hartanah itu dicapai menerusi perjanjian jualan dan pajakan semula, yang dibiayai menerusi pembiayaan dan terbitan hak unit baharu AHP.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Pelaburan Hartanah Nasional Bhd (PHNB), Hafidz Atrash Kosai Mohd Zihim, berkata jumlah aset AHP akan meningkat kepada RM483 juta susulan pembelian hartanah itu.
Beliau berkata, ia juga adalah suatu pertambahan ketara terhadap portfolio hartanah sedia ada yang diuruskannya, selain menawarkan peningkatan hasil pulangan kepada pemegang unit.
"Terbitan hak unit akan meningkatkan lagi bilangan unit AHP di pasaran dan menggalakkan penyertaan berterusan daripada pemegang unit sedia ada," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mydin Mall Seremban 2 adalah hartanah pegangan bebas, yang mana adalah pusat beli-belah atau pasar raya tiga tingkat berserta dua tingkat bawah tanah.
Terletak di kawasan berkembang maju iaitu Seremban 2, Seremban, Negeri Sembilan, pasar raya itu mempunyai kawasan binaan kasar kira-kira 1.14 juta kaki persegi (103.520 meter persegi) di tapak seluas 5.36 hektar.
Berteraskan Mydin Hypermarket, pusat beli-belah itu adalah antara yang terbesar dikendalikan oleh Mydin Mohamed Holdings Bhd di Malaysia.
Kepelbagaian penyewa perniagaan juga menawarkan pengalaman membeli-belah yang lebih meluas kepada pelanggan.
"Penambahan Mydin Seremban 2 ke dalam senarai hartanah AHP akan menawarkan peningkatan pendapatan secara stabil dan berterusan dalam tempoh jangka panjang kepada pemegang unit AHP, berikutan perjanjian pajakan dilakukan untuk tempoh jangka panjang dan bermanfaat," kata Hafidz.
AHP adalah Amanah Pelaburan Hartanah (REIT) yang tersenarai di Bursa Malaysia menerusi pengurusnya, PHNB, anak syarikat milik penuh PNB.
Aktiviti utamanya adalah pelaburan dalam hartanah dan pelaburan lain yang dibenarkan dengan objektif mencapai pulangan yang berterusan dan penambahan nilai modal jangka panjang
INFO
* AHP dilancarkan pada 21 Mac 1989
* Disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Disember 1990.