Ahad, 18 Disember 2016 | 6:32am
KERATAN akhbar BH.
KERATAN akhbar BH.

Perlu strategi bersepadu urus tanah

Kita perlu strategi bersepadu dalam mengurus tanah terutama yang membabitkan agensi kerajaan negeri dan persekutuan. - Gambar hiasan
Kita perlu strategi bersepadu dalam mengurus tanah terutama yang membabitkan agensi kerajaan negeri dan persekutuan. - Gambar hiasan

Ahli falsafah Greek purba seperti Plato, Socrates dan Hippodamus banyak memperkatakan tanah sebagai asas kehidupan manusia. Tanah adalah reruang (spatial) yang menghidupkan 'ruang dan peluang' kehidupan. Maknanya, tanah sebagai sumber kehidupan. Namun demikian, isu berkaitan tanah sering timbul tanpa penyelesaian bersepadu. Hatta, kita perlu strategi bersepadu dalam mengurus tanah.

Ada kira-kira 30,000 hektar tanah wakaf dan hampir 300,000 hektar tanah bekas lombong selain kira-kira 120,000 hektar tanah pertanian yang terbiar. Betapa luas pula tanah perumahan dan projek terbengkalai. Ada kira-kira 1.7 hektar Tanah Rizab Melayu pada hari ini berbanding seluas 2.4 juta hektar pada 1947. Kebanyakannya terbiar dan tidak dimajukan pada tahap 'tertinggi dan terbaik' di seluruh negara. Maka, kita perlu strategi bersepadu dalam mengurus tanah terutama yang membabitkan agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Justeru, kita tidak boleh lagi hanya melihat dan berbincang panjang lebar tanpa apa-apa tindakan segera. Kita tidak lagi boleh menjadi 'penonton' atau 'pemain' semata-mata. Sudah sampai masanya, kita menjadi 'penyerang' untuk menghasilkan gol kemenangan. Semua isu ini memerlukan penyelesaian demi kesejahteraan rakyat. Pendekatan bersepadu dalam mengurus tanah amat diperlukan.

Harmonikan perundangan berkaitan hartanah

Pada hari ini, ada rakyat miskin yang mempunyai tanah tetapi tidak memajukannya. Mereka kaya aset tetapi miskin tunai. Ada yang tidak berkeupayaan dan mencari-cari rakan kongsi untuk memajukan tanah mereka. Lantaran, punca tanah tidak ekonomik perlu dicari dan ditambah baik nilai pasarannya. Antara jalan penyelesaiannya adalah dengan memberi ruang dan peluang untuk mengharmonikan perundangan berkaitan hartanah.

Misalnya, dalam konteks pengambilan tanah untuk menyediakan prasarana awam, ada beberapa perundangan yang berbeza walaupun mempunyai tujuan sama. Akta Pengambilan Tanah (1960) digubal melalui kuasa di bawah Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak mendapatkan pampasan mencukupi, manakala Akta Bekalan Elektrik (1990) pula menentukan tatacara membayar pampasan bagi menyediakan laluan elektrik atau rentis.

Justeru, perundangan yang berkenaan perlu diharmonikan demi mencapai keseragaman dan kelestarian pembangunan tanah. Kita sedar timbul pelbagai halangan untuk memajukan tanah berkenaan. Maka, agensi berkaitan tanah (ABT), agensi berkaitan pertanian (ABP), agensi berkaitan rumah (ABR), agensi berkaitan wakaf (ABW) dan agensi lain yang berkaitan perlu mengambil daya usaha ke arah membebaskan tanah yang terpenjara dan seterusnya menambah nilai ekonomi tanah berkenaan dengan pendekatan sewajarnya.

Mengikut kesesuaian, nilai yang terkunci perlu dibuka dan ditambah baik terutama tanah yang terletak di lokasi utama dan strategik. Barangkali Majlis Tanah Negara (MTN) perlu melihat semula isu-isu berkaitan tanah secara lebih terbuka mengikut keperluan semasa. Sesungguhnya, cara berfikir dan bertindak dalam mentadbir sumber tanah perlu lebih bersepadu dan syumul.

Dalam konteks Tanah Rizab Melayu, kajian menunjukkan nilai pasarannya boleh ditambah baik dengan mencantumkan beberapa lot tanah yang bersambungan. Begitu juga, tanah-tanah wakaf yang berselerak dengan saiz lot yang kecil boleh ditukar ganti menggunakan kaedah istibdal.

Hasilnya, nilai akan meningkat. Barangkali, Tanah Rizab Melayu boleh ditukar taraf menjadi tanah wakaf yang lebih tinggi nilainya (nilai cantuman). Seterusnya, melorong dan mendorong ke arah pembangunan. Begitu juga dengan tanah bekas lombong, dengan pendekatan yang sesuai, pembangunan perumahan, perkilangan dan pertanian boleh dizahirkan.

Semak semula polisi

Caranya ialah dengan menyemak semula polisi yang berkaitan, mengharmonikan peraturan dan undang-undang yang ada, membentuk zon tindakan perancangan pembangunan. Seterusnya membentuk pelan induk yang sesuai untuk memajukannya. Pelan yang dibentuk hendaklah praktikal dan pelaksanaannya dapat dijalankan sebaik mungkin melalui pemantauan, penilaian dan pengukuhan yang wajar.

Dengan menyiapkan Pelan Induk Tanah Wakaf, kita membentuk pula Pelan Induk Tanah Rizab Melayu, kemudian Pelan Induk Tanah Terbiar dan akhirnya Pelan Induk Keseluruhan Tanah Negara boleh diwujudkan. Kita perlu bekerjasama dan bergabung tenaga menubuhkan satu pasukan yang kuat demi satu matlamat menjadi juara.

Barangkali sudah kena pada masanya kita memikirkan nilai ekonomi dan kelestarian sebenar bagi Tanah Rizab Melayu, tanah-wakaf, tanah adat, tanah bekas lombong dan sebagainya. Mungkin undang-undang berkaitan perkara ini perlu digubal, atau peraturan yang sedia ada dipinda, atau diharmonikan mengikut kesesuaian. Agensi berkaitan khusus untuk tujuan ini dibentuk atau agensi sedia ada diubah suai.

Agensi yang didokong kuat modal insan perlu diperkasakan. Modal insan dilatih dengan asas yang kuat supaya menuju ke arah yang lebih profesional. Model pembangunan yang mutakhir perlu dikaji dan diterokai jalan penyelesaian yang lebih praktikal.

Transformasi hartanah perlu dibentuk secara bersepadu mengikut kesesuaian. Kehidupan perlu diteruskan supaya hari ini lebih baik dari semalam dan esok pula lebih baik dari hari ini.

Undang-undang dan peraturan perlu dinamik mengikut keadaan. Pihak kerajaan perlu menyediakan prasarana. Hasilnya, produktiviti tanah pertanian akan meningkat, kenaikan kos sara hidup boleh diperlahankan, keterjaminan makanan akan wujud dan kerajaan dapat merumahkan rakyat. Sesungguhnya, kita mampu membina jambatan kesejahteraan rakyat dengan asas yang kukuh untuk mendepani masa depan yang semakin mencabar.

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA) dan pensyarah di Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

Berita Harian X