Rabu, 31 Ogos 2016 | 6:07pm

Pegangan bebas Quarza Residence jadi tarikan

SEMPENA pelancaran Kempen Koleksi Gaya Hidupnya, esok, Sime Darby Property Bhd akan melancarkan Quarza Residence yang terletak di projek pembangunan KL East yang dimajukannya.

Quarza Residence mempunyai dua menara kediaman dengan jumlah keseluruhan 508 unit, yang mana setiap menara menempatkan 254 unit.

Kediaman serba moden ini dilengkapi unit satu bilik tidur berkeluasan kawasan binaan 651 kaki persegi dan dua unit bilik tidur dengan dua bilik mandi, berkeluasan binaan dari 850 hingga 865 kaki persegi.

Harga permulaan bagi satu unit Quarza Residence adalah RM536,000, dengan setiap unit dilengkapi penghawa dingin, kabinet dapur serta peralatan seperti hood, hob, ketuhar dan peti sejuk serta mesin basuh dan pengering.

Konsep hidup baharu

Pengarah Urusan Sime Darby Property, Datuk Ir Jauhari Hamidi, berkata Quarza Residence di KL East menawarkan konsep hidup baharu, yang mana reka bentuk kreatif memenuhi ruang organik, mewujudkan suasana bertenaga bagi individu dan keluarga yang ingin melarikan diri daripada hiruk pikuk bandar.

Beliau berkata, hartanah itu akan menjadi satu pelaburan yang berharga kerana Quarza Residence menawarkan pemilikan hartanah pegangan bebas.

"Kami berbangga untuk melancarkan satu lagi hartanah kediaman yang menarik di Lembah Klang, Quarza Residence di KL East," katanya dalam kenyataan.

Kemudahan dirancang untuk bakal pemilik kediaman Quarza Residence termasuk kolam renang sepanjang 50 meter, kolam renang untuk keluarga, separuh gelanggang bola keranjang, gelanggang futsal, gimnasium, taman permainan dan trek joging.

Lebih separuh daripada pembangunan KL East adalah terdiri daripada hutan hujan semula jadi dan taman.

Ia terletak di kaki bukit di Klang Gates - rabung kuartza terpanjang di dunia dan menempatkan spesies tumbuhan endemik.

Orang ramai dijemput untuk menghadiri majlis pelancaran Quarza Residence yang akan diadakan di Galeri KL East mulai jam 10 pagi hingga 5 petang, bagi menyaksikan pameran harta kediaman pegangan bebas terbaru Lembah Klang yang terletak dalam pembangunan perbandaran bersepadu KL East.

Wakil jualan akan hadir pada majlis pelancaran itu untuk menerima tempahan.

INFO:

- Quarza Residence akan dibangunkan di atas Quarza Mall yang akan mengambil ruang di tiga tingkat terbawah pembangunan itu.

- Quarza Mall dirancang untuk menempatkan pelbagai jenama runcit yang terkenal, kedai F&B dan pusat beli-belah.

- Nilai Pembangunan Kasar (GDV) untuk kedua-dua pembangunan adalah RM700 juta.

- KL East mempunyai akses terus ke MRR2 dan hanya 15 kilometer dari KLCC dan Menara Berkembar PETRONAS.

Berita Harian X