Ahad, 26 Jun 2022 | 11:23am
Pelancaran model Kia EV6 di Shah Alam -NSTP/Amirudin Sahib
Pelancaran model Kia EV6 di Shah Alam -NSTP/Amirudin Sahib

Kia perkenal kereta elektrik EV6 di Malaysia

SHAH ALAM: Dinamikjaya Motors Sdn Bhd, pengedar rasmi jenama Kia di Malaysia baru-baru ini memperkenalkan model elektrik sepenuhnya, Kia EV6 yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM300,668.

Buat masa ini, hanya satu varian yang diperkenalkan iaitu GT-Line AWD versi import sepenuhnya (CBU) yang hadir dengan penampilan sporty dan kit badan GT-Line serta jarak pemanduan lebih jauh untuk sekali cas sehingga 506 kilometer (km).

EV6 mengetengahkan rekaan sporty menggunakan Electric-Global Modular Platform (E-GMP), diserlahkan dengan rekaan Tiger Nose yang nipis, bersama padanan sepasang lampu LED berbentuk tiga segi, bahagian bawahnya juga dipasang dengan kemasan hitam (piano black).

Pada bahagian sisi, ia dipadankan rim dua tona bersaiz 20 inci dan belakangnya tampil lampu futuristik dengan kemasan geometri pada lampu membelok.

Menjengah ke dalam kabin, Kia EV6 tampil dengan kemasan hitam bersama gabungan putih dengan rekaannya sedikit futuristik dan sangat sesuai dengan kenderaan untuk masa depan.

Pada papan pemuka, ia menempatkan dua skrin bersaiz 12.3-inci, selain dilengkapi pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Sebagai tambahan, EV6 juga dilengkapi dengan Surround View Camera (SVM) yang memberi pemandangan 360 darjah selain dilengkapi ciri Kawalan Bantuan Parkir Pintar bagi membantu memasuki parkir secara automatik.

Dari aspek kuasa, model elektrik sepenuhnya itu hadir dengan dua motor elektrik menerusi pacuan semua roda.

Tenaga output yang disalurkan adalah 320 kuasa Kuda (hp) dengan tork puncak 605Nm.

Jentera elektrik ini mempunyai kuasa pecutan yang sangat pantas, boleh memecut 0-100 km/j dalam 5.2 saat dengan kelajuan maksimum hanya 183 kilometer sejam (km/j).

Ia menggunakan bateri lithium-ion 77.4 kWh dan mampu memberikan jarak sehingga 506 km bagi pengecasan penuh mengikut standard WLTP.

Seperti kenderaan elektrik yang lain, ia mempunyai dua pengecas iaitu AC dan DC yang masing-masing mengambil masa kira-kira tujuh jam untuk penuh, manakala 18 minit bagi pengecasan antara 10 hingga 80 peratus.

Menyentuh aspek keselamatan, Kia EV6 antara lain dilengkapi tujuh bag udara, Sistem Kunci Antibrek dan Kawalan Kestabilan Elektronik.

Berita Harian X