Jumaat, 17 Jun 2022 | 12:50pm
Hyundai IONIQ 5 adalah antara model dibawa masuk Sime Darby yang mendapat permintaan terbesar
Hyundai IONIQ 5 adalah antara model dibawa masuk Sime Darby yang mendapat permintaan terbesar

Sime Darby bakal bawa masuk kereta elektrik baharu

KUALA LUMPUR: Sime Darby Bhd bakal membawa masuk lebih banyak model kenderaan elektrik (EV) ke dalam pasaran tempatan merentasi segmen massa dan premium.

Penganalisis RHB Research, Jim Lim Khai Xhiang, berkata cita-cita EV konglomerat itu bermula apabila ia menjalinkan perkongsian selepas jualan dengan pengeluar peralatan asli (OEM) EV baharu seperti NIO, Weltmeister dan Li Auto di China. 

"Menerusi rangkaian jualan besar di Asia Tenggara (SEA) dan China, Sime Darby berusaha membawa masuk OEM EV baharu ke pasaran SEA dari China. Sebagai contoh, ia telah mempunyai jejak EV di Singapura sebagai peniaga rasmi BYD. 

"Dengan penggunaan EV masih rendah di SEA, barisan model menarik yang akan dikeluarkan nanti boleh mendorong jualan EV di rantau itu," katanya.

Beliau baru-baru ini membuat lawatan ke AutoCity Sime Darby dan berpeluang memandu uji EV daripada jenama BMW, Hyundai, MINI, Porsche dan Volvo.

Khai Xhiang berkata, antara enam EV yang dipandu uji, BMW iX dan Hyundai IONIQ 5 mendapat permintaan terbesar dengan masing-masing kira-kira 1,000 dan 600 pesanan diperoleh walaupun masa menunggu lama. 

Justeru, beliau percaya tarikan utama EV termasuk kos selenggara lebih rendah dengan rata-rata kenderaan sedemikian hanya memerlukan penggantian bateri lapan tahun selepas pembelian dan penjimatan kos tenaga, yang mana caj penuh bagi BMW iX hanya memakan kos kira-kira RM80 berbanding kira-kira RM170 untuk setangki penuh RON95 pada BMW ICE X5.

"Meskipun permintaan kukuh, bekalan tidak dapat memenuhi permintaan. Porsche, BMW, MINI dan Volvo mengalami kekurangan cip dan komponen yang mengehadkan pengeluaran mereka. 

"Kami mendapat tahu bahawa kilang BMW dan Porsche di Jerman beroperasi pada kadar penggunaan rendah oleh sebab itu. Dalam pada itu, akibat kapasiti terhad di kilang di Korea, Hyundai tidak dapat memenuhi permintaan kukuh dunia untuk IONIQ 5," katanya.

Mengenai jualan kereta di China, Khai Xhiang berkata, jualan kereta penumpang di negara itu adalah 1.6 juta pada Mei, melonjak 68 peratus berbanding 956,000 unit pada April.

Beliau berkata, pengeluaran kereta penumpang di China juga mencatatkan kenaikan 71 peratus dari bulan ke bulan kepada 1.7 juta. 

Katanya, jualan kereta penumpang di China meningkat 54 peratus pada minggu 6-12 Jun berbanding tempoh sama pada Mei.

"Meskipun China masih melaksanakan sekatan COVID-19, kami fikir pelonggaran sekatan secara separa dan langkah rangsangan tambahan oleh kerajaan pusat/tempatan sepatutnya terus memacu pemulihan jualan kereta pada bulan-bulan yang mendatang," katanya.

 

Berita Harian X