Rabu, 25 Mei 2022 | 12:01pm
(Gambar hiasan). Ruang pameran PROTON. - NSTP/OWEE AH CHUN.
(Gambar hiasan). Ruang pameran PROTON. - NSTP/OWEE AH CHUN.

Kekurangan cip berterusan, pembeli kereta perlu tunggu lebih lama

KUALA LUMPUR: Pelanggan yang membuat tempahan kenderaan mungkin terpaksa menunggu lebih lama susulan isu kekurangan cip komputer yang dijangka berterusan sehingga 12 bulan akan datang.

Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri, berkata buat masa ini tiada tanda penyelesaian kekurangan cip yang menyebabkan timbul isu pengeluaran kenderaan bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Katanya, ramai tidak memahami sektor automotif bukan pelanggan terbesar syarikat yang menghasilkan cip semikonduktor, sekali gus menyaksikan permintaan tidak akan disalurkan dengan pantas berbanding industri utama iaitu elektronik.

Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri
Penganalisis automotif, Hezeri Samsuri

"Pelanggan terbesar pengeluar cip semikonduktor adalah syarikat elektronik seperti pembuat telefon pintar, komputer dan permainan video.

Sekatan pergerakan baru-baru ini menyaksikan lonjakan ketara dari aspek jualan sektor elektronik yang menjadi pelanggan utama industri semikonduktor.

"Apa yang berlaku sekarang ialah syarikat automotif terpaksa menunggu giliran bekalan cip mereka daripada pengilang cip dan ini menjadi isu global. Bukan hanya di Malaysia, tempoh waktu menunggu tempahan kenderaan baharu menjadi lebih lama di seluruh dunia.

"Difahamkan ketika ini, pengedar kenderaan diminta menempah setahun lebih awal untuk stok mereka. Jika pengedar tidak mempunyai modal besar atau berada dalam pasaran tidak stabil, mereka pasti tidak berani untuk menempah jumlah stok yang tinggi selepas mengambil kira faktor kerugian," katanya ketika dihubungi BH.

Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Jim Lim Khai Xhiang, pula berkata kekurangan cip, komponen dan penangguhan penghantaran turut disebabkan sekatan pergerakan di China bagi mengekang penularan pandemik menerusi langkah sifar COVID-19 yang dilaksanakan kerajaan negara ekonomi terbesar dunia itu.

"Jumlah keseluruhan industri (TIV) merosot 23 peratus bulan ke bulan pada April selepas mencatat angka jualan bulanan tertinggi. Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menyatakan TIV April lemah disebabkan kekurangan cip, komponen dan penangguhan penghantaran.

"PROTON terjejas teruk oleh isu bekalan cip dengan jualan menurun 32 peratus bulan ke bulan dan 43 peratus tahun ke tahun.

"PERODUA mengawal kekurangan ini dengan lebih baik apabila jumlah jualan hanya menguncup empat peratus bulan ke bulan, tetapi meningkat 26 peratus tahun ke tahun.

"Jumlah jualan Toyota dan Honda pula masing-masing menyusut 18 peratus dan 43 peratus bulan ke bulan. Bagaimanapun, menurut UMW Toyota, keadaan kekurangan cip bertambah baik, tetapi kini ia berdepan kekurangan komponen lain," katanya dalam nota penyelidikan.

Khai Xhiang berkata, isu kekurangan cip dapat dilihat menerusi jumlah pengeluaran keseluruhan (TPV) bulan ke bulan yang merosot sembilan peratus pada April.

MAA mendedahkan TPV pada April berjumlah 54,734 unit, lebih rendah berbanding 59,908 unit yang dihasilkan pada Mac.

"Penurunan bulan ke bulan diterajui oleh Toyota (-27 peratus) dan Honda (-29 peratus). Kami percaya ia mungkin disebabkan kekurangan komponen yang berlaku susulan pelaksanaan sekatan pergerakan di China.

"Pengeluaran PROTON jatuh enam peratus susulan kejatuhan pengeluaran 14 peratus di kilang Tanjung Malim melebihi kenaikan tiga peratus di kilang di Shah Alam," katanya.

Menuju ke hadapan, beliau berkata, permintaan kereta kekal teguh disebabkan pelanggan terus membuat tempahan bagi melayakkan mereka mendapat pelepasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan/atau menantikan pelanjutannya kelak.

"Ambil maklum bahawa sesetengah pelanggan masih membuat tempahan biarpun tahu mereka tidak layak memanfaatkan pengecualian SST dan hal ini menunjukkan wujud permintaan dasar yang baik.

"Dari aspek bekalan pula, kami berpandangan kekurangan komponen terus berlarutan selama berbulan-bulan dan mungkin bertambah teruk jika sekatan pergerakan dikembangkan ke lebih banyak bandar di China.

"Yang meyakinkan ialah PROTON memperoleh cip mencukupi untuk pengeluaran Mei hingga Jun dan berusaha keras menyempurnakan tempahan sebelum tamatnya pengecualian SST," katanya.

Khai Xhiang berkata, kerajaan mungkin melanjutkan pengecualian SST bagi membantu pembeli kereta yang tidak sempat memanfaatkan tempoh pengecualian cukai akibat masa menunggu lama serta isu rantaian bekalan.

Selain itu, katanya, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mungkin memberi dorongan tambahan untuk melanjutkan tempoh pelepasan SST.

Berita Harian X