Rabu, 18 Mei 2022 | 1:17pm
Kumpulan UMW - Foto hiasan
Kumpulan UMW - Foto hiasan

UMW kekalkan momentum jualan kereta

KUALA LUMPUR: Kumpulan UMW mengekalkan momentum penjualan automotif pada bulan April 2022 dengan UMW Toyota Motor (UMWT) dan syarikat bersekutu, PERODUA mencatatkan jualan kenderaan yang lebih baik.

Kumpulan mendaftarkan jualan kenderaan sebanyak 32,600 unit pada April 2022, lebih rendah daripada 35,246 unit yang didaftarkan pada bulan sebelumnya disebabkan oleh gangguan terhadap pengeluaran kenderaan akibat daripada isu rantaian bekalan yang menjejaskan industri automotif.

UMWT mencatatkan jualan 6,946 unit pada April, menjadikan jualan yang didaftarkan setakat empat bulan pertama tahun ini berjumlah 29,393 unit, 11.2 peratus lebih tinggi daripada 26,431 unit yang dicatatkan pada tempoh sama tahun lalu.

Toyota Vios, Yaris, Corolla Cross dan Hilux adalah antara model terlaris bagi April, dengan kempen jualan yang sedang dijalankan sepanjang Hari Raya seperti 'Bersama Lebih Bermakna' dijangka memacu jualan kenderaan kumpulan.

Sementara itu, PERODUA mencatatkan sebanyak 25,654 unit jualan kenderaan pada April, 4.1 peratus lebih rendah daripada 26,759 unit yang didaftarkan pada bulan sebelumnya.

Bagi empat bulan pertama tahun ini, PERODUA mencatatkan jualan sebanyak 87,278 unit, 11.5 peratus lebih tinggi daripada 78,308 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Jualan PERODUA terus dipacu oleh model terlarisnya iaitu Myvi, Axia dan Bezza.

Dengan permintaan yang bertambah baik dan prospek positif bagi industri automotif di Malaysia, Perodua menetapkan sasaran jualan lebih tinggi iaitu sebanyak 247,800 unit untuk 2022.

Jualan yang lebih tinggi akan didorong oleh pengecualian cukai jualan serta pengenalan model baharu dan dikemaskini.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Bhd, Datuk Ahmad Fuaad Kenali, berkata syarikat sangat berbesar hati dengan jualan kenderaan yang didaftarkan oleh UMWT dan PERODUA pada bulan April walaupun dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh industri automotif.

"Isu rantaian bekalan yang berterusan telah mengganggu pengeluaran kenderaan bagi bulan April.

"Kedua-dua syarikat bekerjasama rapat dengan pembekal untuk meminimumkan kesan terhadap pengeluaran kenderaan dan mempercepatkan penghantaran kenderaan kepada pelanggan.

"Kami ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada pelanggan atas sokongan mereka terhadap produk dan perkhidmatan kami," katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X