Rabu, 11 Mei 2022 | 6:55pm
UMW Toyota menjual 29,393 unit kereta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini - Foto hiasan
UMW Toyota menjual 29,393 unit kereta dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini - Foto hiasan

Jualan kereta UMW Toyota melonjak

KUALA LUMPUR: UMW Toyota Motor Sdn Bhd menjual 29,393 unit model Toyota dan Lexus dalam tempoh empat bulan pertama 2022, melonjak 11 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Syarikat itu dalam satu kenyataan, berkata ia yang telah menjual 6,868 unit Toyota dan 78 unit Lexus pada April, menjangkakan jualan akan kekal dalam aliran menaik sepanjang tahun ini.

"Peningkatan jualan dari tahun ke tahun adalah disebabkan oleh promosi Hari Raya 'Bersama Lebih Makna', yang menawarkan faedah bernilai RM4,000 kepada mereka yang memilih untuk memandu pulang Vios dan Yaris," katanya.

UMW Toyota juga menjangkakan pertambahan jualan berikutan pelancaran produk baharu yang akan datang.

Presidennya, K Ravindran berkata, syarikat itu kekal komited bagi menawarkan inovasi nilai untuk wang, ditambah dengan teknologi canggih dan ciri keselamatan untuk semua kenderaannya.

"Walaupun dengan pengumuman mengejut Aidilfitri sehari lebih awal daripada yang dijangkakan, semua pusat servis kami telah bersedia sepenuhnya untuk membantu pelanggan kami dalam perjalanan 'balik kampung' mereka.

"Menerusi Bersama Lebih Bermakna, kami ingin mendekati mereka yang kurang bernasib baik, terutamanya anak-anak yatim dan keluarga ibu bapa tunggal," katanya.

Ravindran berkata, jenama automotif itu mahu memberi inspirasi dan memupuk semangat kesukarelawanan yang kuat, bersama-sama dengan perkhidmatan masyarakat di kalangan pekerjanya sebagai cara dalam membawa jenama itu lebih dekat dengan masyarakat.

"Oleh itu, UMW Toyota Motor akan menyambut Hari Raya dengan 'Toyota Raya Open House Weekender' pada 21-22 Mei di semua bilik pameran kami di seluruh negara untuk berhubung dengan pelanggan Toyota, baik yang lama, sekarang atau masa depan," tambahnya.

-BERNAMA

Berita Harian X