Khamis, 28 April 2022 | 8:43pm
Model Proton X70 akan dihantar ke Afrika Selatan - Foto ihsan PROTON
Model Proton X70 akan dihantar ke Afrika Selatan - Foto ihsan PROTON

PROTON kembali ke Afrika Selatan

KUALA LUMPUR: Pengeluar kereta nasional, PROTON menandatangani perjanjian untuk melantik CMH Group sebagai pengedar kenderaan Proton di Afrika Selatan, yang akan menyaksikan penghantaran pertama model import sepenuhnya mula dijual pada September.

Menurut syarikat itu, model Proton X50 dan Proton X70 akan mendahului jualan di sana, diikuti Proton Saga, yang kembali ke negara itu selepas 10 tahun jualannya berakhir pada 2012.

"PROTON yakin dengan prospek jualannya di Afrika Selatan, mengunjurkan jualan yang kukuh bagi tahun ini dan menyasarkan lebih daripada dua kali ganda jumlahnya pada 2023.

"Bagi suku pertama tahun ini, jumlah jualan eksport meningkat sebanyak 175 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2021," katanya dalam satu kenyataan.

Ia berkata, jualan dijangka bertambah kerana syarikat menyasarkan untuk meningkatkan jualan eksport lebih daripada 300 peratus menjelang akhir tahun ini.

Bagi tahun ini, katanya, jabatan jualan antarabangsa syarikat menyasarkan untuk meningkatkan jualan eksport kepada 10,000 unit, bukan sahaja memasuki pasaran baharu tetapi juga meningkatkan operasi pemasangan (KD) di luar negara.

Pengarah Jabatan Jualan Antarabangsa PROTON, Steven Xum berkata matlamat jangka panjang syarikat memerlukan eksport memainkan peranan utama untuk meningkatkan jualan keseluruhan syarikat memandangkan jumlah keseluruhan industri (TIV) di Malaysia dijangka tidak banyak berubah.

"Justeru itu, kami mengeksploitasi kekuatan produk baharu, jenama dan juga hubungan Malaysia dengan negara-negara lain untuk bertapak di pasaran baharu.

"Ini kemudiannya diperkukuhkan dengan mewujudkan operasi KD di mana-mana yang berpotensi, yang juga dapat membantu mengembangkan ekonomi tempatan," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X