Selasa, 19 April 2022 | 11:55am
Volkswagen Passat R-Line serlah gaya ‘ranggi’ sebuah sedan.
Volkswagen Passat R-Line serlah gaya ‘ranggi’ sebuah sedan.

R-Line buat Passat lebih mantap

Sebelum ini penulis pernah memandu uji Passat Elegance di mana model sedan Volkswagen ini ternyata memberikan penjimatan bahan api yang hampir tidak masuk akal daripada enjin petrol.

Kali ini BH Auto diberi peluang menguji Passat R-Line yang telah dikemas kini yang mana tampil lebih berkuasa berbanding model terdahulu.

Apa tidaknya. Jika dulu Volkswagen Passat R-Line hanya dengan kuasa 190 PS dan tork puncak 320 Nm, namun penampilan terbaharu model ini dengan kemas kini terbaik menyaksikan kuasanya meningkat kepada 220 PS dan tork 350 Nm.

Terima kasih kepada enjin 2.0 liter TSI dengan kotak gear transmisi DSG 6-kelajuan kerana menyajikan kuasa lebih jitu untuk Passat R-Line.

Lebih menarik varian terkini ini juga hadir dengan butang kawalan pilihan mod pemanduan.

Penampilan beberapa model varian R-Line seperti VW Golf R-Line yang pernah diperkenalkan oleh Volkswagen sebelum ini memberikan inspirasi kepada Volkswagen Malaysia mengetengahkan varian R bagi model-model lain.

Rangkaian R-Line direka untuk pemandu yang ingin menyerlahkan individualiti, lebih sporty dan nilai hebat.

Keunggulan kejuruteraan Jerman terbukti dengan prestasi mengujakan dengan penjimatan bahan api mengagumkan.
Keunggulan kejuruteraan Jerman terbukti dengan prestasi mengujakan dengan penjimatan bahan api mengagumkan.

Model sedan dinamik ini didatangkan dengan kemasan luaran dan dalaman yang meningkatkan lagi penampilan secara keseluruhannya.

Meskipun peningkatan dari aspek kuasa dan kelajuan, penjimatan yang kini semakin sinonim dengan Passat terus kekal dengan varian R-Line ini meraih catatan 6.9 Liter bagi setiap 100 kilometer (km) ketika dipandu uji penulis.

Berbekalkan kapasiti tangki 66 liter, setangki penuh mampu bergerak pada jarak sehingga 900 km, hanya sedikit rendah berbanding Passat Elegance yang pernah dipandu uji penulis sebelum ini.

Mungkin aspek penambahan kuasa menyebabkan varian R-Line lebih 'liar' tetapi angka 900 km pasti sukar ditandingi mana-mana model sedan berkuasa petrol yang berada di pasaran ketika ini.

Dari aspek luaran, Passat R-Line hadir dengan penampilan lebih mantap. Terima kasih kepada bampar hadapan baharu yang agresif, lengkap dengan lencana R-Line pada grilnya.

Satu lagi kemasan tersendiri R-Line boleh dilihat dengan jelas pada bampar belakang, lencana R-Line dan kemasan krom pada bahagian sisi sedan ini yang menambah gaya yang diserlahkan menerusi sistem lampu utama LED sepenuhnya, lampu isyarat membelok berturutan atau gaya dinamik dan rekaan tiga sayap untuk lampu belakang.

Profil rugged jentera ini ditingkatkan lagi menerusi rim aloi Verona baharu bersaiz 19 inci.

Mewah dan sporty

Menjengah ke dalam kabin, kemasan R-Line dapat dilihat dengan jelas pada tempat duduk dan stereng yang dibalut kulit Nappa gayaan karbon berwarna hitam, pedal sports aluminium serta kemasan dalaman bumbung hitam.

Selain itu juga, kemasan karbon dapat dilihat pada ruang dalaman khususnya pada papan pemuka dan sisi pintu.

Pengalaman pemanduan ditingkatkan dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) dan Driving Mode Selection yang membolehkan pemandu menukar serta memilih 15-gaya pemanduan mengikut kecenderungan mereka.

Sama seperti semua model Volkswagen, aspek kemudahan dan keselesaan tidak diabaikan di mana ciri seperti Digital Cockpit boleh ubah dan App-Connect Apple Car Play tanpa wayar menawarkan ketersambungan pantas buat pemandu.

Apa yang menarik apabila melangkah masuk ke ruang dalaman ialah tempat duduk hadapannya dipadankan dengan kerusi ErgoComfort dengan 14-tetapan yang dibalut oleh kulit Nappa gayaan karbon.

Tempat duduk pemandu juga hadir dengan fungsi urutan dan memori.

Kehadiran model Passat R-Line menggabungkan ciri sebuah kereta sedan yang lebih sporty, garang tetapi penuh dengan ciri eksklusif dalaman dan luaran.

Menyentuh aspek keselamatan pula, Passat R-Line juga padat dengan ciri premium termasuk Rear Cross Traffic Alert dengan julat pengesanan 180 darjah sehingga 50 meter.

Ciri Side Assist pula membantu mengesan objek di kawasan titik buta sehingga 70-meter dengan jarak pengesanan 110 darjah apabila kenderaan ini bergerak.

Satu lagi ciri keselamatan penting ialah sistem Electronic Differential Lock (XDS) yang berfungsi menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah olengan (understeer).

Passat R-Line dilengkapi ciri Tyre Pressure Monitoring System baharu yang memantau tekanan setiap tayar, manakala brek pergerakan pula akan menekan brek secara automatik untuk menghalang pelanggaran apabila ia mengesan objek pada kelajuan sehingga 10 kilometer sejam (km/j).

Ciri keselamatan lain yang didatangkan sebagai standard ialah Electronic Stability Control (ESC), brek anti kunci (ABS), Brake Assist (BA), Intelligent Crash Response System (ICRS), Hill-hold Control, Automatic Post-Collision Braking System dan Proactive Passenger Protection System.

Secara keseluruhan, Passat R-Line memberi penampilan lebih sporty dan sesuai untuk eksekutif muda yang mementingkan kuasa, pengendalian dan penjimatan bahan api.

Info:

PASSAT R-LINE

* Harga atas jalan tanpa insurans RM211,916.88

* Jaminan diberi ialah 5 tahun tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan (5 tahun) dan penyelenggaraan percuma 3 tahun

* Enjin 2.0TSI dengan transmisi klac basah DSG 6-kelajuan

* Kuasa 220 PS dan tork 350 Nm

* Pengalaman pemanduan dipertingkat dengan ciri Kawalan Casis Dinamik (DCC) dan Pilihan Mod Pemanduan (DMS)

* Penggunaan bahan api 6.9L/100km

* Kawalan pendingin hawa menerusi sentuhan haptik

* Sistem audio premium Harman Kardon 700-watt dengan 12 unit pembesar suara termasuk sebuah subwoofer

* Ada empat mod pilihan iaitu Pure, Chill Out, Live dan Energy.

* Lima warna pilihan iaitu Scale Silver (perak), Aquamarine Blue (biru), Manganese Grey (kelabu), Deep Black (hitam) dan Oryx White (putih).

Berita Harian X